Sunday, April 15, 2012

Kun Fayakun!

Assalamu'alaikum wbt



"Melihat mereka, ana tak mampu hindarkan rasa resah tika ini."

Mesej itu saya hantar pada seorang akhawat. Resah dan gelisah kian menghantui hati tika melihat pergaulan bebas dari rakan sendiri. Saya sudah buat muka di situ.

Seolah-olah tidak mahu menerimanya di hadapan mata. Tidak sanggup rasanya melihat, kerana mereka bukan calang-calang orang - ilmu agama mereka itu tinggi!


Saya tahu, tiada hak untuk saya pertikaikan itu.

Kata mak, kalau kita cakap orang, nanti berbalik pada kita semula, macam mana?
Na'udzubillah, perlindungkanlah diri ini Ya ALLAH.


Satu mesej tiba. Inbox dibuka.

"Ukhti, sejauh mana pun kita berlari, jika ALLAH berkata 'Kun fayakun', benda tu tetap akan terjadi juga."

Tergamam sebentar.
Bermenung sendiri di tengah-tengah ‘peristiwa’.

"Apakah aku ini sedang ‘berlari ’? "
Astaghfirullah.

ya, kerana 'Kun Fayakun.' 
Bunyinya mungkin seperti biasa di dengar. Tetapi, setelah diri menghadapi sendiri, baru tersedar, ternyata ia punya kesan yang besar.

ALLAH, rupanya saya masih tidak redha atas apa yang berlaku.
Astaghfirullah.


"ALLAH, pertunjukkanlah aku apa yang Kau mahu aku tahu di sebalik ini."

Sejenak kembali berfikir, "Tentu ada sebab mengapa aku dipilih untuk berada di tengah-tengah mereka. Tentu ada sebab mengapa aku yang harus melihat ini."

Sebaik-baik rancangan adalah perancangan-Nya. Selalu hati memujuk. Dia selalu ada di sisi. Kerana itu, usah risau tika bersendiri.


"Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha & diredhai. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurgaku."
[Al-Fajr:27-30]


Kerana ‘Kun fayakun’

Kalimah keramat itu selalu dibaca, selalu dengar, tenang disebut. Ralat rasa hati, bagaimana bisa diri ini terlupa untuk aplikasikannya pada hidup?

Manusia. Biasanya memang sentiasa lupa.

Kerana itu, telah 6 kali manusia diperingati dalam indah kalam-Nya.

 1.“Allah Pencipta langit dan bumi, dan bila Dia berkehendak (untuk menciptakan) sesuatu, maka (cukuplah) Dia hanya mengatakan kepadanya : Jadilah, lalu jadilah ia“. 
[2:117] 


2.“Dan Dialah yang menciptakan langit dan bumi dengan benar. Dan benarlah perkataan Nya di waktu Dia mengatakan : Jadilah, lalu terjadilah, dan ditangan-Nya-lah segala kekuasaan di waktu sangkakala ditiup. Dia mengetahui yang ghaib dan yang nampak. Dan Dialah Yang maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui“. 

[6:73]


3.“Sesungguhnya perkataan Kami terhadap sesuatu apabila Kami menghendakinya, Kami hanya mengatakan kepadanya : Kun – (jadilah) – maka jadilah ia“. 

[16:40]


4.  “Tidak layak bagi Allah mempunyai anak, Maha Suci Dia. Apabila Dia telah menetapkan sesuatu, maka Dia hanya berkata kepadanya : jadilah, maka jadilah ia“

[19:35]


5.“Sesungguhnya perintah-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: jadilah, maka terjadilah ia“

[36:82]


6. “Dia-lah yang menghidupkan dan mematikan, maka apabila Dia menetapkan sesuatu urusan, Dia hanya berkata kepadanya : jadilah, makajadilah ia“. [40:68]


Subhanallah. ALLAH.

Ketika mana hati resah bagaikan terlalu lemah menerima ketentuannya, ingatilah kalam mulia ini. Segalanya bagaikan ada yang menegur, tatkala tersedar DIA Maha Kuasa dalam sesuatu perkara.

Kerana ‘Kun Fayakun’ itulah hari ini kita di sini, merasai segala nikmat ini, berdepan dengan segala hakikat hidup, dan belajar dari segala-gala yang telah berlaku.  

Ayat ini saya petik dari sebuah blog , termenung seketika membacanya.

“Ampuni hamba yang hampir bersangka buruk kepadamu Ya Allah..ampuni hamba yang hina yang tak mampu membayangkan rencanamu yang sempurna..” 

Memang terkadang, dalam menerima sebarang ketentuan pada diri, atau melihat dan menerima sebarang ketentuan pada orang lain, ada fikiran yang cenderung mempertikaikan,


"Mengapakah harus ini yang terjadi kepadaku?"

…atau sahaja,

"Kenapakah dia pula yang harus merasakan itu?"


Zapp! Lempang pipi anda. Heh.. 

Pertikaian dari ‘dalam’ itulah yang akhirnya melahirkan perdebatan tentang ketentuan dan berperang dengan diri sendiri. Tidak pantas untuk dinafikan, sekelumit rasa itu kadang-kadang datang bertandang malahan lebih besar dari sekelumit itu pun, pernah ada.

Astaghfirullah..

Kita lupa, ALLAH suruh belajar dari apa yang datang bertandang.
Usah runsing apabila langkah kaki terjerlus pada lumpur keperitan, kerana kita punya Dia yang Maha Hebat dalam merencana. Segalanya perlu pada kebergantungan pada-Nya, kepercayaan pada-Nya, usaha dan tawakal pada-Nya.

Seketika terpana, benarlah. 
Segala apa yang berlaku, setiap perkara yang berlalu, dan semuanya yang menimpa, hanya punya satu sebab.

Kerana ‘Kun Fayakun’-Nya. 



seringkali kita berdoa, "Ya ALLAH, berikanlah aku kekuatan!"

ingat, ketika mana kita berdoa diberi kekuatan dalam kehidupan, 
itu bermakna kita bersedia menghadapi ujian.

bagaimana kan diraih sebuah kekuatan andai tiada ujian sebagai halangan?

kerana ujianlah, tingkatnya iman.

jadi, usah pertikai ketika mana ujian itu bertandang.
kerana kita sendiri yang memintanya!

1 comment:

  1. terkesan bila baca

    "seringkali kita berdoa, "Ya ALLAH, berikanlah aku kekuatan!"

    ingat, ketika mana kita berdoa diberi kekuatan dalam kehidupan,
    itu bermakna kita bersedia menghadapi ujian.

    bagaimana kan diraih sebuah kekuatan andai tiada ujian sebagai halangan?

    kerana ujianlah, tingkatnya iman.

    jadi, usah pertikai ketika mana ujian itu bertandang.
    kerana kita sendiri yang memintanya!"

    :)
    nice sharing dik!

    ReplyDelete