Assalamu'alaikum wbt.
Saya selalu mendengar ayat ini,"kami x bertudung tapi xde buat jahat pun.Tengoklah perempuan yang bertudung sekarang,'couple' sana sini,buat maksiat,pakai tudung tapi nampak aurat jugak.Baik tak payah bertudung!."Wahai kaum hawa sekalian,kewujudan orang berhijab berbuat dosa bukan alasan untuk kita meninggalkan kewajiban kita!
Memakai tudung adalah satu kewajiban berhijab dalam Islam bagi wanita yang telah baligh. Hukum ini tiada perselisihan disisi semua ulama daripada keempat-empat mazhab. Ini berdasarkan firman Allah swt dalam ayat 59 Al-Ahzab dan ayat 31 An- Nur.
Seseorang itu boleh bertudung, tetapi masih melanggar aturan berhijab seperti memakai pakaian ketat atau mendedahkan anggota tubuh yang lain.
Ulama daripada keempat-empat mazhab juga bersepakat bahawa minimum anggota tubuh yang perlu dihijab (tutup) ialah seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan. Bagaimana bentuk atau fesyen bagi menutup tubuh, terserah kepada keadaan dan budaya asal sahaja ia memenuhi syarat berhijab. Sila rujuk syarat-syarat hijab yang sempurna dalam buku Halal dan Haram Dalam Islam oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi.
Meninggalkan kewajiban berhijab/memakai tudung adalah berdosa. Mengingkarinya atau mengejek orang yang memakai hijab pula boleh merosakkan akidah kerana mengingkari sesuatu yang telah ditetapkan dalam Al-Quran dan mengejek-ejek amalan agama.
Allah swt berfirman yang bermaksud "Sesungguhnya Allah telah mengharamkan keduanya (air dan makanan syurga) daripada orang-orang kafir. (Iaitu) Mereka yg menjadikan agama mereka sebagai main-main dan senda gurau dan kehidupan telah menipu mereka...." (Al-A'araad:50-51).
Bagaimanapun, berhijab adalah salah satu kewajiban daripada banyak kewajipan dalam islam. Berhijab atau tidak berhijab semata-mata tidak menjamin seorang itu masuk syurga atau neraka.
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud " Sesungguhnya salah seorang daripada kamu mengamalkan amalan ahli syurga sehingga tidak ada jarak antaranya dan antara syurga melainkan sehasta, kemudian terdahulu atasnya ketentuan kitab (qadha dan qadar), lalu ia pun mengerjakan dengan amal ahli neraka, maka masuklah dia kedalamnya. Dan sesungguhnya salah seorang daripada kamu mengamalkan amalan ahli neraka sehingga tidak ada jarak antaranya dan antara neraka melainkan sehasta, kemudian terdahulu atasnya ketentuan kitab (qadha dan qadar), lalu ia pun mengerjakan dgn amal ahli syurga, maka masuklah dia kedalamnya." (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
Seorang itu jika ia sentiasa menjaga akhlaknya serta hatinya daripada sifat-sifat keji, tetapi meninggalkan hijab, ia akan mendapat pahala bagi kebaikan yang ia lakukan dan mendapat dosa kerana meninggalkan hijab dan kewajipan lain, jika ada.
Di akhirat nanti, setiap kita akan dihisab oleh Allah atas seluruh amal kita. Jika seorang wanita berhijab, tetapi dosa-dosanya yang lain memberatkan timbangan dosa, ia akan dicampakkan ke neraka dan wanita yang tidak berhijab walaupun berdosa, tetapi amal kebajikannya lebih berat daripada dosa, ia akan masuk ke syurga. Hakikat ini boleh dipelajari dari hadis Rasulullah saw yang menceritakan seorang pelacur dimasukkan syurga kerana menyelamatkan seekor anjing yang kehausan.
Bagaimanapun, mereka yang mengatakan sedemikian sebenarnya tidak sedar bahawa keengganannya untuk memakai hijab menunjukkan kewujudan unsur-unsur tidak baik dalam hatinya. Hakikatnya seseorang itu tidak mahu berhijab, memberi petanda bahawa dalam hatinya ada keingkaran/tidak redha terhadap hukum Allah atau kelemahan untuk melawan rasa malu atau tekanan persekitaran dan kehendak nafsu untuk berhias atau ego diri.
Kewujudan wanita yang berhijab, tetapi melakukan dosa-dosa lain tidak boleh menjadi alasan bagi seorang wanita meninggalkan kewajiban berhijab atas alasan 'yang penting hati mahu baik'. Jika alasan ini boleh diterima, maka manusia akan mempunyai alasan bagi meninggalkan semua kewajiban agama.
Setiap kita haruslah mengetahui apakah kewajiban-kewajiban agama yang perlu ditunaikan dan berusaha untuk menunaikannya tanpa melihat perbuatan atau kecacatan orang lain kerana kita dihisab oleh Allah swt atas perbuatan kita sendiri bukan atas perbuatan orang lain. Allah berfirman, "Dan bahawasanya seorang manusia itu tidak memperolehi (pahala atau dosa) melainkan apa yang diusahakannya." (An-Naj:39).
Bagi wanita-wanita yang memakai hijab dan dikatakan sedemikian, hendaklah bersabar, berusaha memuhasabah diri atas kritikan yang dibuat dan tidak pula menghukum wanita yang mengatakan sedemikian dgn kafir, jahil dan cercaan lain. Allah mengajar umat Islam dalam firmannya, "Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan dimuka bumi dengan rendah hati dan apabila orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik," (Al-Furqan:63).
Wanita-wanita yang memakai hijab hendaklah bersyukur atas hidayah yang Allah telah berikan kepada mereka, tetapi tidak pula menjadikan amalan hijabnya satu alasan untuk memandang rendah wanita lain kerana sifat sedemikian adalah keji dan sebahagian daripada penyakit hati.
Sesungguhnya wanita yang bertudung itu teramatlah cantik dan sentiasa dipandang tinggi oleh masyarakat yang berfikiran positif! Saya selalu mengikut prinsip hidup saya iaitu,''biarlah apa orang sekeliling nak cakap tentang diri aku,yang penting aku tahu apa yang aku buat ini adalah untuk menggapai redhaNya~''
wallahu'alam
No comments:
Post a Comment