Wednesday, December 25, 2013

Mood Peperiksaan

Assalamu'alaikum wbt.

Berkurun lama dah tak menulis disini. Terasa seperti otak sudah berkarat untuk menulis. Herk~

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat menjawab dalam Peperiksaan kepada rakan-rakan yang akan menduduki final exam bermula minggu depan. Debarannya mungkin sama atau lebih lagi daripada menduduki peperiksaan masa sekolah dulu.

Semoga persediaan telah dibuat sebaik mungkin. Insya-Allah. Selalu ingat pesan mak, "jangan lupa DUIT!". DUIT bermaksud Doa, Usaha, Ikhtiar, Tawakal.

Bittaufik wannajah fi imtihan ya ikhwah wa akhawat! ;)

Monday, May 20, 2013

Kaki Wanita : Adakah Aurat?

Assalamu'alaikum wbt.

Allahu,setelah sekian lama blog ini tidak memberi apa-apa perkongsian kepada para sahabat yang lain. Asif jiddan, saya tidak berkesempatan untuk meluangkan masa ber'blogging' sejak awal tahun. Alhamdulillah, saat ini diberi kelapangan waktu untuk meneruskan dakwah pena saya. Moga Allah redha.

Sebelum ini, banyak soalan yang saya terima daripada rakan-rakan tentang aurat wanita,terutamanya bab kaki. Ramai yang bertanya, adakah kaki itu aurat atau tidak. Hasil pembacaan saya dan rujukan daripada golongan yang berilmu,saya akan kongsikan kepada sahabat sekalian tentang aurat kaki wanita. Insya-Allah.

Sebelum itu, ada perbandingan daripada mazhab utama dalam bab aurat kaki ini.

Maliki, Syafi'e dan Hanbali sepakat mengatakan bahawa seluruh bahagian tubuh wanita itu aurat kecuali muka dan telapak tangan.
Hanafi pula mengatakan bahawa seluruh bahagian tubuh wanita itu aurat kecuali muka, telapak tangan dan telapak kaki.

Berdasarkan pendapat mazhab, jumhur ulama' berpendapat kaki wanita itu adalah aurat, tiada lagi keraguan padanya terutamanya dalam solat. Hanya pendapat mazhab Hanafi sahaja berpendapat bahawa kaki bukan aurat.


Allah berfirman yang bermaksud:
"Katakanlah kepada wanita yang beriman: hendaklah mereka menahan pandangannya dan kemaluannya, serta janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak daripadanya." [An-Nur 24:31]

Apakah yang dimaksudkan dengan "yang biasa nampak daripadanya?" Sa'id bin Jubair meriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa maksud ayat tersebut ialah wajah dan kedua-dua tapak tangan. (tafsir Al-Quran al-Azim)

Pendapat yang sama turut dikongsi oleh al-Dahhak dan al-Auza'i, namun ada beberapa sahabat seperti Ibn Mas'ud yang berpendapat ia bermaksud pakaian. Ini disokong oleh sebuah hadis, tatkala Asma' binti Abu Bakar masuk ke tempat Rasulullah SAW berada sedangkan dia memakai pakaian sedikit nipis. Rasulullah SAW lalu berpaling daripada memandangnya sambil bersabda yang bermaksud:
"Wahai Asma', sesungguhnya seseorang wanita itu apabila telah baligh (haid), maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini." Rasulullah SAW sertakan lafaznya "ini dan ini" dengan mengisyaratkan wajah dan kedua-dua tapak tangan. (Riwayat Abu Daud)

Walaupun hadis ini mempunyai beberapa kecacatan yang dipertikaikan oleh ulama', disini jelas juga satu lagi faedah yang boleh digali dari hadis ini, bahawa lelaki dan wanita perlu memainkan peranan yang bersifat "simbiosis", bantu-membantu ke arah kebaikan dan takwa.

Peranan wanita ialah mengetahui secara teori segala permasalahan berkaitan aurat dan seterusnya mengamalkannya secara konsisten. Lelaki pula berperanan memberi nasihat kepada wanita disekitarnya terutamanya peranan mereka mengelakkan ahli keluarga mereka daripada terhumban ke dalam neraka, di samping menundukkan pandangan bagi menjaga mata dan hati.

Namun saya percaya, ada wanita yang mengalami masyaqqah (kesulitan) menutup kaki sama ada dengan berstoking, memakai kasut bertutup atau dengan melabuhkan pakaian mereka sehingga menutup kaki. Wanita harus faham disini, konsep menutup kaki tidak hanya tercapai dengan memakai stoking sahaja. Konsep pakaian labuh seperti abaya yang biasa dipakai oleh wanita Arab mempunyai maqasid menutup kaki apabila mereka memakainya labuh sehingga berjela-jela, namun tidak sampai ke tahap berbangga-bangga dengan pakaian labuh.

Memakai kasut bertutup pada waktu hujan tanpa perlu memakai stoking juga boleh diterima dari segi praktis, asalkan tujuan asal menutup aurat mampu dicapai. Tiada lagi istilah stoking basah berkali-kali sehari.

Jika berada di rumah terutamanya di kampung, kadangkala susah nak menutup kaki dengan kehadiran sepupu, saudara-mara dan sebagainya. Kan? Dalam situasi seperti ini, mujahadahlah sedikit dengan meminimumkan kaki terdedah walaupun diberi beberapa kelonggaran jika berada di dalam rumah. Dalam konteks keluarga besar yang memahami syariat Islam, pengasingan lelaki dan wanita bukan mahram boleh membantu.

FIrman Allah yang bermaksud:
"Hai anak Adam, sesungguhnya kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat." [Al-A'raf 7:26]

Takwalah yang memotivasikan wanita sama ada patuh atau angkuh dengan suruhan Allah SWT ini. Tepuk dada tanya iman. Jika iman masih malap, terangkan hati dengan ilmu dan amal.



Wallahu'alam

SOLUSI

Thursday, February 28, 2013

Merungut Dengan Takdir Allah?

Assalamu'alaikum wbt.

Dan tertakdir menjalani segala kehendak-Mu Ya Rabbi,
Ku berserah ku berpasrah hanya pada-Mu Ya Rabbi.

Bila mungkin ada luka cuba tersenyumlah,
Bila mungkin tawa cuba bersabarlah,
Kerana air mata tak abadi,
Akan hilang dan berganti.

Bila mungkin hidup hampa dirasa,
Mungkinkah hati merindukan Dia,
Kerana hanya dengan-Nya hati tenang,
Damai jiwa dan raga.

[Takdir-Opick]

Bait-bait lirik itu membuatku terfikir akan sesuatu. Ya, TAKDIR! Kebanyakan kita selalu mempersoalkan mengapa begitu dan tidak begini. Itulah yang dikatakan RUNGUTAN. Kita banyak tidak berpuas hati, merungut dan geram apabila datangnya ujian atau musibah. Tanpa sedar, sebenarnya kita banyak 'COMPLAIN' pada Allah, kan?

Walau apa pun yang terjadi, segala takdir yang kita lalui semuanya adalah dengan kehendak Allah. Tidak bergerak satu zarah pun, melainkan dengan izin Allah. Apatah lagi dalam soal kehidupan, semuanya telah diatur oleh Allah. TIADA ISTILAH KEBETULAN.

Lemahnya manusia apabila bersangka buruk dengan Allah. Sedangkan ujian  itu adalah perkara yang harus dilalui oleh manusia ketika didunia ini. Ini untuk mengetahui tahap keimanan kita kepada-Nya. Ujian atau musibah adalah sebahagian daripada takdir (qada' dan qadar) Allah kepada kita. Sebagai orang Islam, kita wajib beriman dengan qada' dan qadar Allah.


Setiap manusia diuji dengan ujian yang berbeza-beza mengikut tahap kemampuan masing-masing. Jelas di dalam Al-Quran Allah mengatakan bahawa Allah tidak akan menguji hamba-Nya diluar kemampuan hamba-Nya. Kalau difikirkan, penyebab kepada berlakunya sesuatu musibah kepada kita hanyalah 'perantara'. Semua yang berlaku itu sudah tertulis oleh Allah untuk terjadi, seperti ayat Allah dalam surah Al-Hajj ayat 70, firman Allah yang bermaksud:-

"Tidakkah engkau tahu bahawa Allah mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi? Sesungguhnya yang demikian itu sudah tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz). Sesungguhnya yang demikian itu amatlah mudah bagi Allah."

Apa jua usaha atau tindakan yang kita ikhtiarkan, ilhamnya datang daripada Allah. Menyalahkan penyebab kepada sesuatu yang terjadi adalah salah. Menunggu qada' dan qadar semata-mata juga adalah silap!. Usaha, redha, sabar dan tawakal kepada Allah adalah asas bagi mukmin yang bertaqwa. Baik buruk yang terjadi selepas itu, tidak boleh kita runguti.

Maka, berusahalah kita untuk mendapat takdir yang terbaik. Berusaha dan mengambil penyebab kepada sesuatu perkara yang terjadi juga termasuk dalam takdir Allah. Kita perlu tahu bahawa diri kita akan sentiasa diuji, maka bersedialah dalam menghadapi ujian. Beruntung bagi mereka yang selalu diberi ujian kerana itu tanda Allah sayang padanya. 

Saya terbaca satu kisah pada zaman Rasulullah SAW.

Ketika Rasulullah SAW ditanya, "Apa yang hendak kita lakukan, adakah sudah ditetapkan atau tidak?." Maka baginda menjawab, "Sudah ditetapkan." Dan baginda ditanya lagi, "Mengapa kita mesti berusaha dan tidak pasrah sahaja dengan takdir yang sudah tertulis?." Baginda menjawab, "Berusahalah, masing-masing akan dimudahkan menurut takdir yang telah ditentukan baginya."   
[Riwayat Muslim]

Semoga kita sentiasa menjadi hamba yang sentiasa redha atas ujian dan ketentuan-Nya. Allahumma ameen!

Wallahu'alam


Gen-Q

Saturday, January 12, 2013

Jangan Tanyakan Aku Tentang Hidupku


Jangan tanyakan aku tentang hidupku
ia adalah sebuah rahsia kehidupan
ia adalah anugerah.. ia adalah ujian
ia adalah dunia yang penuh dengan cita-cita
aku telah menjualkannya kepada Allah
kemudian aku berjalan dalam barisan para pembawa petunjuk..

dan jalan hidupku adalah
al-Qur’an, pedang, dan ujian..
Allah telah memberkatinya dan para nabi terdahulu telah melaluinya
para syuhada’ telah menyirami jalan ini dengan darah mereka
maka jadilah ia taman indah yang dikelilingi cahaya...

sedangkan penghujung perjalananku adalah
apa yang meredhakan Allah dan apa yang diinginkan-Nya
keuntungan dengan kemenangan nyata
atau kesyahidan dan keabadian
jika engkau telah berada di muka bumi
dan engkau tahu umurmu terbatas
maka jadilah pahlawan dan pembawa petunjuk
jika tidak alangkah buruknya kewujudanmu...