Showing posts with label sakit. Show all posts
Showing posts with label sakit. Show all posts

Friday, July 22, 2011

Apakah 'ACL INJURY' ?

Assalamu'alaikum wbt


Mungkin kita semua pernah mendengar perkataan "ACL Injury" atau tidak pernah langsung mengetahuinya. Tetapi bagi para sains,sudah semestinya mereka lebih arif tentang perkara ini. Saya sendiri baru mengetahui perkataan ini daripada sahabat saya yang menderita sakit ini. Pada mulanya saya berasa agak ngilu apabila membayangkan keadaan orang yang menderita "ACL Injury" ini. Mana tidaknya, cuba bayangkan apabila tulang kita bergesel atau terkehel mahupun patah, sakit bukan? Saya cuba mencari seberapa banyak info mengenai "ACL" ini dan ingin berkongsi bersama anda semua. 


Apa itu ACL?


Anterior Cruciate Ligament, atau ACL, adalah satu daripada empat major ligamen pada lutut. ACL adalah kritikal untuk stabilitasi pada lutut, dan seseorang yang mengalami cedera pada ACLnya sering mengeluh tanda-tanda lututnya seperti akan keluar daripada tempatnya.


Lutut merupakan sendi penghubung di antara tulang paha (femur) dan tulang betis (tibia). Ligamen adalah struktur pada lutut yang memegang tulang femur dan tibia dan menolong mengawal pergerakan sendi. Terdapat dua ligamen yang berada di tengah lutut iaitu anterior cruciate ligament (ACL) dan posterior cruciate ligament (PCL).

ACL adalah salah satu ligamen terpenting pada lutut. Ia berfungsi untuk mengawal sejauh mana tulang tibia bergerak ke hadapan, relatif kepada tulang femur. Jadi, ACL adalah penting bagi mengelak pergerakan yang terlalu ke hadapan yang boleh menyebabkan kecederaan pada struktur lain dalam lutut. Lazimnya, kecederaan ACL berpunca dari pergerakan memusingkan badan secara tiba-tiba dan perlanggaran fizikal.

Kecederaan ACL atau ligament krusiat hadapan pada lutut boleh dialami kepada lelaki atau wanita, terutama yang bermain bola keranjang, bola sepak, ragbi atau futsal.

Pesakit akan merasa sakit lutut. Lutut juga turut bengkak kerana berlaku pendarahan di dalam lutut dan biasanya pemain tidak dapat meneruskan permainan.

Jika lebih 25 peratus ligamen tercedera, seseorang itu akan berasa sakit dan kedudukan lututnya tidak stabil kerana ligamen yang menjadi pemegang antara dua tulang terkoyak.


Apa Itu Rekonstruksi ACL?


ACL yang koyak tidak boleh sembuh dengan sendiri atau dijahit semula. Ia perlu digantikan dengan tisu lain pesakit yang boleh mengambil alih fungsi ACL yang asal.

Tujuan pembedahan di atas adalah supaya tisu yang menggantikan ACL tumbuh pada kedudukan yang sama dengan ACL yang lama dan dengan itu dapat berfungsi sebagaimana biasa.

Matlamat selepas pembedahan, pesakit akan mendapat lutut yang kuat dan stabil serta berupaya membengkokkan lutut secara penuh.

Kebanyakan atlet profesional telah menjalani pembedahan tersebut dan berjaya kembali aktif meneruskan aktiviti sukan masing-masing seperti biasa.

Terdapat beberapa rekonstruksi ACL menggunakan pelbagai jenis tisu (graf) untuk menggantikan ACL.

  • Bone-Patella Tendon-Bone (BTB)
Tisu yang menggunakan tulang tempurung lutut dan lekatan tendon adalah graf yang paling lazim digunakan. Ia digunakan dalam rekonstruksi ACL single bundle dan memberikan keputusan yang baik dalam majoriti pesakit.
Pesakit boleh kembali bersukan sepenuhnya selepas lima hingga enam bulan jika pesakit telah tamat menjalani program rehabilitasi/pemulihan.

  • Tendon Hamstring
Ini merupakan satu lagi jenis graf yang biasa digunakan dalam rekonstruksi ACL. Tendon hamstring terletak pada sebelah dalam lutut medial/tengah dan digunakan dalam rekonstruksi ACL single atau double bundle.
Kaedah menggunakan graf ini juga kerap digunakan oleh pakar bedah ortopedik.

  • Rehabilitasi Perioperatif Rekonstruksi ACL
Pesakit perlu memahami bahawa dalam pemulihan kecederaan lutut, pesakit memerlukan bukan sahaja pembedahan yang berjaya malah program rehabilitasi juga adalah penting dalam memberikan keputusan yang baik.

Dalam program rehabilitasi, interaksi pesakit, doktor dan ahli fisioterapi adalah penting untuk mendapatkan hasil yang sempurna.

Program rehabilitasi yang dijelaskan di bawah adalah yang dilakukan bagi kecederaan ACL, melibatkan empat fasa.

Program rehabilitasi mungkin berbeza di hospital-hospital lain dan turut bergantung kepada teknik pembedahan yang digunakan oleh doktor merawat.

Kerjasama pesakit dalam menjalani rawatan intensif fisioterapi semasa rehabilitasi adalah penting dan ini akan mempengaruhi pemulihan pesakit.

Sebelum pembedahan rekonstruksi ACL, selalunya doktor pakar yang merawat akan mengenal pasti tahap kerjasama yang ditunjukkan oleh pesakit dalam menjalani rehabilitasi awal.
Pesakit yang menunjukkan komitmen yang tinggi semasa program rehabilitasi akan dipilih untuk menjalani pembedahan.

Ini adalah kerana kejayaan pembedahan ini untuk memulihkan kembali lutut yang tercedera bukan hanya bergantung kepada teknik pembedahan malah turut bergantung kepada komitmen pesakit semasa menjalani rehabilitasi selepas pembedahan.

Empat fasa rehabilitasi rekonstruksi ACL

Kaedah pembedahan rekonstruksi ACL, BTB teknik single bundle atau hamstring teknik double bundle digunakan untuk merawat pesakit.

Program yang dijelaskan di bawah adalah untuk pesakit yang menjalani kaedah pembedahan seperti di atas.

* Sebelum Pembedahan

Program rehabilitasi bertujuan untuk mengurangkan bengkak, mendapatkan pergerakan penuh sendi lutut dan menguatkan otot yang berada di sekitar sendi lutut terutama otot paha (kuadriseps).

Bagi pesakit yang mengalami kecederaan ACL kali pertama, pembedahan rekonstruksi ACL hanya akan dilakukan selepas enam minggu untuk mengelakkan lutut daripada mengalami artrofibrosis (lutut mengeras dan tidak dapat membengkok) jika dilakukan terlalu awal.

* Minggu Pertama Selepas Pembedahan

Program bertujuan mengurangkan kesakitan dan bengkak lutut selepas pembedahan disebabkan oleh pendarahan. Pesakit akan dilatih untuk meluruskan lutut dengan senaman yang sesuai.

Senaman seperti mengangkat kaki secara lurus dan kuadriseps statik adalah penting dimulakan awal supaya lutut tidak akan mengeras dalam keadaan bengkok.

Senaman tersebut juga membantu merangsangkan kuadriseps untuk menjadi kuat dan mengembalikan saiz dan kekuatan asal otot tersebut.

Dalam fasa ini juga pesakit akan dilatih untuk membengkokkan lutut secara berperingkat-peringkat menggunakan senaman yang sesuai dan peralatan seperti pergerakan pasif berterusan (continuos passive motion/CPM).

* Rehabilitasi Bertumpu

Fasa ini melibatkan latihan lutut untuk berada dalam kedudukan lurus, mengawal bengkak lutut, meningkatkan kedudukan lutut semasa membengkok kepada 130 darjah, meningkatkan kekuatan kuadriseps kepada 65 peratus kekuatan otot paha sebelah yang normal dan memulakan aktiviti sukan yang spesifik.

Pelbagai kaedah senaman dan peralatan akan diajar dan digunakan oleh ahli fisioterapi bagi mencapai matlamat di atas.

Kedua-dua fasa di atas adalah penting untuk mengelakkan otot paha daripada mengecut dan mendapatkan kembali pergerakan lutut untuk membengkok.

Pesakit perlu memberikan kerjasama yang baik dan mempunyai keazaman yang kuat untuk kembali aktif.
Sesi fisioterapi adalah penting supaya sebarang masalah dapat dikenal pasti oleh doktor dengan awal dan fisioterapi boleh menggunakan kaedah peralatan dan senaman yang sesuai untuk mengatasi masalah tersebut.

Pesakit akan dibimbing oleh fisioterapi supaya melakukan senaman dengan teknik yang betul dan sesuai.
Selepas rawatan fisioterapi di hospital, pesakit juga perlu melakukan senaman di rumah mengikut kaedah dan bilangan ulangan senaman yang diajar.

Jika teknik yang betul dan bilangan yang diarahkan dibuat oleh pesakit, peralatan seperti perangsang otot-otot elektronik tidak diperlukan untuk menguatkan otot.

Pesakit perlu berbincang dengan doktor jika masih sukar untuk membengkokkan atau meluruskan lutut walaupun telah menjalani program rehabilitasi yang lengkap.

* Aktiviti Spesifik Sukan

Ini melibatkan senaman meluruskan dan membengkokkan lutut secara penuh, meningkatkan kekuatan kuadriseps sehingga 85 peratus kekuatan otot paha yang normal dan aktiviti asal sukan yang diceburi pesakit.
Sebagai contoh, bagi pemain bola sepak, senaman yang diberikan adalah seperti berjoging pada garisan lurus, berjoging dalam pergerakan huruf lapan dan berbasikal.

Bagi senaman yang digunakan setiap fasa, pembaca dinasihat mendapatkan nasihat daripada doktor pakar ortopedik dan fisioterapi mengenai kaedah senaman.

Kesimpulan

Rekonstruksi ACL adalah kaedah pembedahan yang paling berjaya untuk memulihkan lutut yang tidak stabil disebabkan oleh kecederaan ACL.

Kejayaan dalam mendapatkan kembali kekuatan asal lutut dan kembali aktif bersukan memerlukan program rehabilitasi yang intensif.

Kerjasama pesakit dalam melakukan senaman semasa rehabilitasi adalah penting untuk mendapatkan kembali kekuatan dan pergerakan penuh lutut.

Berikut adalah gambar pembedahan untuk membaiki semula ACL:

gambar atas menunjukkan ACL yang koyak dan anda dapat lihat dimana ligamen itu terkoyak

gambar  atas adalah selepas pembedahan.lihat ligamen yang baru itu


 Jenis-jenis sokongan lutut yang biasa dipakai 
Sokongan lutut atau brace boleh memberi perlindungan dan sokongan pada lutut yang tidak stabil. Ia menghalang kecederaan kepada lutut yang sihat dan menyokong lutut yang tidak stabil.
  • Brace lutut berengsel - Ia mempunyai lapisan penguat pada kedua-dua sisi lutut yang dibuat daripada besi dan boleh dibengkokkan pada engselnya. Jenis ini mampu memberi sokongan yang baik kepada lutut
  • Sesetengah brace menggunakan engsel boleh laras yang mana titik putaran berubah mengikut pergerakan lutut dengan itu sokongan yang diberikan adalah lebih sempurna. Bagaimanapun tidak ada sokongan yang mampu memberi perlindungan seratus peratus kepada ACL yang mana ia hanya memerlukan beberapa darjah putaran sahaja untuk mencederakannya.

  • Penyokong lutut yang distabilkan - Jenis ini mempunyai panel sisi yang diperkuatkan untuk memberi sokongan tambahan berbanding sokongan lutut yang standard. Ia memberi sokongan dari tekanan sisi kepada lutut.
Selalunya terdapat plat besi yang fleksibel atau tali anjal yang dijahit pada kedua-dua sisi penyokong lutut berkenaan. Jenis ini memberikan sokongan sisi yang kurang tetapi mempunyai bentuk yang lebih nipis berbanding brace lutut berengsel.

  • Penyokong lutut asas - Penyokong lutut jenis asas ini tidak mempunyai bahan sokongan tambahan pada sisinya dan selalunya dibuat daripada bahan neoprene yang boleh simpan haba. Jenis ini hanya memberikan sokongan yang sederhana kepada lutut.
Bagi pengambilan makanan atau suplimen untuk merawat masalah ACL ini,hendaklah bertanyakan kepada doktor yang merawat anda. Saya tidak dapat memberikan cadangan pemakanan kerana ia sangat berisiko tinggi jika anda mengikut apa yang saya cadangkan.hehe :P


Semoga info yang saya kongsikan ini serba sedikit dapat memberi pengetahuan kepada anda.


wallahua'alam

Saturday, June 11, 2011

Penghidap 'Asthma'

Assalamu'alaikum wbt

Gerun je kan bila dengar pasal asma? Yelah,penyakit ini diantara penyakit yang boleh membawa maut!. Penyakit asma ini tiada ubatnya tetapi perlu dicegah! Bagi sesiapa yang menghidap penyakit ini, mereka tentu tahu keperitannya. Sungguh,saya sendiri menghidap penyakit asma tetapi bukanlah di tahap yang agak teruk. Saya merasai keperitan dan terasa seperti diri ini sudah dihujung nyawa ketika menghidap penyakit ini. Jika saya yang berada di tahap biasa ini pun sudah terasa seperti hendak 'mati', bagaimana pula dengan mereka yang berada pada tahap kritikal? Ya Allah,betapa seksanya keadaan itu!

Ingin saya kongsikan artikel mengenai penyakit asma dan tips mengambil ubat ini bersama sahabat sekalian. Semoga bermanfaat~ :)

orang asma akan pakai inhaler ini

Asma atau lelah ialah serangan sesak atau kesusahan bernafas beserta bunyi termengah-mengah di dada. Ia juga menghasilkan bunyi seperti siulan kerana penyempitan pada saluran cabang tenggorok di paru-paru. 

ini paru-paru orang normal dan pesakit asma

Asma terjadi apabila otot pada saluran udara yang menghubungkan hidung pada paru-paru menjadi kejang. Ketika otot kejang,saluran udara mengecil dan menghalang pernafasan. Keadaan menjadi teruk apabila pesakit mempunyai kahak pekat yang menutup salur penafasan menyebabkan udara susah keluar masuk. Apabila ini terjadi,paru-paru akan berkurangan udara dan pesakit boleh pengsan serta boleh menyebabkan KEMATIAN!

Angkara tanda lain asma ialah sukar hendak bernafas,terbatuk-batuk dan pernafasan menjadi pendek. Antara faktor yang boleh memburukkan asma ialah alahan kepada habuk rumah,bulu binatang,debunga rumput dan asap rokok. Terlalu banyak bersenam dan melakukan kerja-kerja juga memungkinkan mendapat asma. Begitu juga jika sering mengalami tekanan perasaan dan mendapat jangkitan pada paru-paru. Bagi mereka yang alah kepada ubat-ubatan seperti aspirin dan penisilin,wajar berhati-hati kerana kemungkinan mendapat serangan asma jika mengambil ubat berkenaan.

Asma Pada Kanak-Kanak

Serangan asma pada kanak-kanak adalah masalah biasa kerana 10-20% kanak-kanak didunia ini mengalami asma. Ia selalunya bermula dengan serangan selesema,batuk dan kemudian sesak nafas. Jika tidak diubat dengan sempurna kanak-kanak itu berkemungkinan akan menghidap asma hingga dewasa. Menurut kajian,kira-kira 80% kanak-kanak menghidap asma akan hilang penyakit mereka apabila mencapai usia 5 tahun. Bagi kanak-kanak yang menghidap asma yang sederhana,serangan ini akan hilang dalam lingkungan usia 12-13 tahun. Sebilangan 50-60% akan sembuh apabila mereka dalam lingkungan 20-25 tahun dan 20% lagi akan mendapat asma berterusan dan sebilangan kecil akan sembuh.

Asma tidak boleh diubati tetapi biasanya kanak-kanak akan sembuh apabila usia mereka meningkat. Manakala orang dewasa yang baru mendapat asma akan kekal menghidapnya. Asma tidak memberi apa-apa kesan tetapi boleh memudaratkan paru-paru.

Perubatan

Sedutan(Inhaler)

Ubat sedutan ini bertujuan mencegah asma yang kerap terjadi. Antaranya ialah becotide,pulmicate,salbotomol dan theophylline. Apabila mengalami serangan asma,doktor akan memberi ubat sama ada dalam bentuk tablet,kapsul,bancuhan,penyedutan,aerosol atau supositori. Ubat yang diberikan itu selalunya mampu mengatasi masalah penyempitan saluran cabang tenggorok pada paru-paru. Pesakit juga kadangkala diberi sejenis steroid untuk meredakan kesesakan nafas yang dialami. Pesakit juga mungkin diberi ubat sodium cromoglycate yang akan membantu mereka mengelakkan serangan asma. Ubat sedutan ini antara lain:
- selamat dan cepat memberi kesan
-ubatnya berkesan selama 4 jam
-boleh diambil selalu dan apabila diperlukan
-ulang setiap 2 atau 3 jam
-boleh digunakan sebelum bersenam
- tetapi tidak berkesan pada asma yang teruk

Perbezaan antara penyedut dan ubat tablet. 
Ubat penyedut memberi kesan yang lebih cepat berbanding ubat makan yang hanya akan berkesan setelah setengah jam mengambilnya. Penyedut pula mempunyai dos yang lebih rendah dan kesan sampingan kurang berbanding ubat yang dimakan.

Alahan Asma
Bagi yang mempunyai alahan,sila elakkan perkara dibawah:-
  • binatang peliharaan adalah penyebab utama penyakit asma. Penghidap asma sering alah kepada bulu binatang peliharaan mereka terutama kucing dan anjing
  • alat solek.
  • debunga. ini banyak pada musim bunga.
  • pewarna makanan
  • asap dan debu.
  • debu/kutu rumah
  • senaman berlebihan
  • tekanan
  • jangkitan seperti virus dan selesema
  • pekerjaan yang membabitkan debu dan asap
  • genetik
Apa patut kalian buat jika diserang asma?

Ambil ubat sedutan,tunggu hingga 15-20 minit dan ulang jika ia tidak berkesan. Ubat yang dimakan akan mengambil masa 30 minit hingga sejam untuk menunjukkan kesan. Jika kalian merasakan kesan ubat,ulangi mengambilnya pada masa yang disyorkan. Jika tidak berkesan,cepat-cepat berjumpa doktor. Bagaimanapun,ubat-ubat yang dicadangkan itu boleh meninggalkan kesan sampingan kepada pesakit seperti terlalu mengantuk,loya,muntah,darah gemuruh,kesukaran hendak tidur dan letih. Pesakit juga dinasihatkan supaya mendapatkan pandangan daripada doktor pakar farmasi kerana pengambilan ubat-ubatan tanpa mengikut dos boleh menjejaskan keberkesanan ubat itu. Sebaik-baiknya ambil ubat terakhir kalian sebelum masuk tidur kerana serangan asma lebih kerap berlaku pada sebelah malam. 


Selepas mengambil ubat,kalian perlu berkumur-kumur terutama jika kalian diberi ubat jenis sedutan. Amalan ini penting untuk mengelakkan mulut dan tekak dari menjadi kering. Pesakit juga harus ingat,selain rawatan ubat-ubatan mereka perlu berusaha mengelakkan bahan-bahan yang boleh menyebabkan serangan asma.


Peringatan!

  1. ambil ubat seperti dicadangkan doktor dan jangan berhenti sehingga dinasihat oleh doktor
  2. jangan tunggu hingga janji temu yang seterusnya jika serangan asma kalian semakin meningkat
  3. bawa ubat kalian kemana-mana kalian pergi terutama penyedut
  4. elakkan menghisap rokok atau dekat dengan orang yang menghisap rokok
  5. senaman baik untuk kesihatan tapi dapatkan nasihat doktor
  6. ambil ubat sebelum kalian jangka akan ke tempat yang mungkin akan menimbulkan serangan asma
  7. jika kalian sering mendapatkan asma yang teruk sentiasa bawa nota daripada doktor kalian
akhir kata,AMALKAN GAYA HIDUP YANG SIHAT~ :)