Saturday, March 19, 2011

Jujur itu Cerminan Diri Kan?


Assalamu’alaikum wbt

Manusia...semakin hari semakin hilang sifat jujurnya..adakah mereka itu dikategorikan sebagai MUNAFIK??! Munafik bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng oleh setiap manusia yang hidup di alam fana ini. Apakah ciri-ciri orang yang munafik dan apakah pula kesannya?Ayuh,kita bersama merungkai erti munafik yang sebenar!

Jika ditanya,adakah kita ini munafik?agaknya apa jawapan kita??Munafik itu berasal daripada perkataan arab yang bermaksud hipokrit.Apakah maksud hipokrit?Hipokrit mengikut kamus dewan ialah orang yang berpura-pura berperangai (berkelakuan, bersifat, dll) baik, (orang yang) memperlihatkan keadaan diri yg berlainan daripada yg sebenarnya.

Golongan munafik ini sebenarnya sudah wujud sewaktu hayat Rasulullah SAW lagi. Istilah itu digunakan bagi merujuk kepada golongan yang hanya berpura-pura mengikuti ajaran Islam, tetapi hakikatnya mereka tidak mengakui atau ragu-ragu terhadap kebenaran Islam dalam hati. 

Firman Allah yang bermaksud: "Apabila orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau sebenar-benarnya Rasul Allah. Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah Rasul-Nya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta." - (Surah al-Munafiqun, ayat 1) 

Begitulah Allah menerangkan dengan jelas perihal orang munafik dalam al-Quran sehingga Allah menamakan satu surah iaitu al-Munafiqun bagi menggambarkan betapa bahayanya sifat munafik terhadap agama Islam. 

Pada zaman Rasulullah SAW, perihal orang munafik itu lebih jelas apabila Baginda memerintahkan Muslimin untuk keluar berjihad di jalan Allah, maka golongan munafik akan segera berdolak-dalih dan memberi 1001 alasan bagi mengecualikan diri keluar berperang menentang Musyrikin ketika itu. 

Allah merakamkan keadaan itu menerusi firman-Nya yang bermaksud
: "Dan juga dengan tujuan Ia hendak melahirkan dengan nyata akan orang munafik yang dikatakan kepada mereka: Marilah berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam), atau pertahankanlah (diri, keluarga dan harta benda kamu). Mereka menjawab: Jika kami mengetahui bagaimana hendak berperang, tentulah kami mengikut kamu (turut berperang)." - (Surah Ali-Imran, ayat 167) 

Golongan munafik terbahagi kepada dua iaitu:-

  •    Munafik  Itiqadi iaitu yang berkaitan dengan kepercayaan dalam hati. Mereka itu terdiri daripada golongan yang hanya beriman kepada Allah secara luaran saja. 

Hakikatnya mereka ragu dengan kebenaran Islam dan keesaan Allah. Mereka hanya berlakon di khalayak  ramai, tetapi sebenarnya mendustakan agama Allah yang dibawa oleh Rasul-Nya. Firman Allah yang bermaksud: "Dan di antara manusia ada yang berkata: Kami sudah beriman kepada Allah dan hari akhirat; padahal mereka sebenarnya tidak beriman."-(Surah al-Baqarah, ayat 8)

Golongan itu akan dimasukkan ke tingkatan neraka paling bawah. Sesuai dengan penipuan dan kezaliman dilakukan terhadap diri mereka sendiri. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan terkebawah sekali dari (lapisan dalam) neraka." - (Surah an-Nisa, ayat 145) 

  •     Munafik  'Amali iaitu berkaitan perbuatan. Rasulullah SAW menjelaskan dalam sabda yang bermaksud: "Tanda orang munafik itu ada tiga; apabila berkata ia berdusta, dan apabila berjanji ia mungkir dan apabila diberi amanah ia khianat." - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

Daripada dua hadis yang disebutkan di atas, tidak dapat dinafikan bahawa sifat-sifat yang menjadi pegangan golongan munafik kadang-kadang dihadapi oleh kita sendiri, sama ada dalam keadaan sedar mahupun tidak. Contohnya ialah suka berbohong atau menipu, mungkir  janji atau mengkhianati amanah yang dipertanggungjawapkan di atas bahu kita.

Terkadang, kita sendiri tidak menyedari bahawa hampir kebanyakan daripada amalan sehari-harian kita adalah merupakan amalan ciri-ciri golongan munafik. Jadi, sentiasalah muhasabah diri dan prihatin dengan setiap apa yang akan dan telah kita lakukan. 
Sabda Rasulullah s.a.w.:
"Tiga perkara, barangsiapa yang berada di dalamnya, maka ia dicap munafik, sekalipun ia puasa, sembahyang dan mengaku dirinya seorang Muslim, iaitu; bila berbicara ia bohong, bila berjanji ia mungkiri dan bila menerima amanah dia khianati.
Sabda Baginda yang lain:
"Empat perkara yang jika seseorang manusia ada di dalamnya, maka ia menjadi munafik, dan barangsiapa mempunyai salah satu dari sifat-sifat itu, samalah seperti ia mempunyai sifat kemunafikan, sehingga dia menjauhinya lagi: Jika berbicara dia dusta, jika berjanji dia mungkiri, jika membuat pengakuan dia belot dan jika menuntut dia curang."
Ingin saya kongsikan  lagi ciri-ciri munafik yang dipetik dari  http://ustazmelaka.net/ :-
50 tanda-tanda orang munafik mengikut al-Quran dan as-Sunnah
  1. Malas beribadah kepada Allah SWT - Malas mengerjakan solat, segan untuk menempatkan diri di saf pertama, enggan mencari ilmu pengetahuan dan berat melangkah untuk ke majlis kebajikan.
  2. Lupa kepada Allah
  3. Melalaikan solat fardu - Sengaja melengahkan atau lambat menunaikan solat sehingga berada di akhir atau habis waktunya.
  4. Mempercepatkan pergerakan solat - Orang yang mempercepatkan solatnya tanpa rasa khusyuk dan lupakan Allah, maka solatnya tidak diterima Allah. Itulah solat orang yang munafik.
  5. Gemar meninggalkan solat berjemaah -Sihat dari segi fizikal dan jasmani, mempunyai waktu lapang dan tidak uzur syarie, tetapi tidak mahu mendatangi masjid ketika mendengar seruan azan.
  6. Meninggalkan solat Jumaat
  7. Melakukan dosa dan kemungkaran secara sembunyi -Berpura-pura melakukan kebaikan di tengah-tengah orang ramai dan gemar melakukan kemungkaran di belakang orang adalah dibenci Allah SWT.
  8. Menyuruh yang mungkar dan melarang yang ma’ruff.
  9. Menyembunyikan ilmu pengetahuan -Orang-orang yang memiliki ilmu dan apabila ditanya orang lain sedang dia mengetahui persoalan yang ditanyakan itu tetapi tidak menjelaskannya. Ini merupakan perbuatan yang menghalang kemajuan ummat Islam dan dapat menutup kebenaran.
  10. Mengamalkan riak
  11. Hasad dengki
  12. Dusta
  13. Mungkir janji
  14. Bakhil
  15. Fitnah -Menyampaikan keburukan orang lain di kalangan orang ramai supaya mereka membenci atau memusuhinya. Ia juga tergolong dalam sifat-sifat munafik dan dosa-dosa besar.
  16. Mencaci maki -Menyakiti orang lain dan mencemarkan maruah seseorang itu.
  17. Mengumpat
  18. Mengungkit pemberian kepada orang yang menyakiti hatinya -Mengungkit kembali pemberian kepada orang lain dengan harapan dikenang jasa dan sumbangannya serta ingin menyakiti hati orang lain. Perbuatan ini dicela dalam Islam.
  19. Mengingkari qadar (takdir) Allah -Sesungguhnya orang yang menolak, membenci atau mengingkari takdir Allah, tergolong dalam golongan kufur dan rosak iman dan mendapat azab serta kemurkaan Allah.
  20. Mempersendakan kesucian agama -Perbuatan mempersenda kesucian dan agama Islam adalah suatu yang amat dibenci dan dilarang dalam Islam kerana ianya seolah-olah menentang sesuatu yang diturunkan Allah.
  21. Enggan berjihad
  22. Menghina sahabat Rasulullah SAW -Perbuatan ini dianggap melanggar larangan baginda, berdosa besar dan termasuk dalam golongan orang munafik
  23. Menyembunyikan persaksian pada jalan yang benar
  24. Menangguhkan pembayaran hutang
  25. Menipu dalam jual beli -Perbuatan menipu ini adalah melibatkan amalan timbang atau sukat sesuatu barang tanpa kadar yang mencukupi atau menjual barangan yang rosak di mana menimbulkan rasa kecewa dan tidak puas hati pembeli pada akhirnya.
  26. Ghasab -Ghasab ialah mengambil atau menguasai harta (tanah) orang lain dengan jalan aniaya, iaitu jalan yang tidak diredhai Islam. Perbuatan ini walaupun dengan mengambil cuma sejengkal, adalah termasuk perbuatan dosa besar dan munafik.
  27. Bergaul dengan orang yang memperolokkan al-Quran
  28. Memakan harta anak yatim
  29. Membuka rahsia orang lain
  30. Merasa aman dari murka Allah apabila berbuat dosa -Apabila seseorang melakukan dosa dan merasa selamat dari murka dan seksaan Allah, maka anggapan ini adalah berdosa besar dan amalan orang-orang munafik.
  31. Memanggil orang dengan gelaran buruk yang tidak disukai
  32. Menghalangi orang dari mengamalkan ajaran Islam
  33. Suka kepada kesesatan dan menyesatkan orang lain
  34. Bermuka dua -Sikap ini ialah apabila diajak untuk mengikut jalan Allah, sengaja melambat-lambatkan dan tidak mahu. Tetapi, apabila diajak ke jalan yang dimurkai Allah, dengan senang dan cepat mereka menurutnya.
  35. Menyanjung dan memuji orang tanpa diketahui keadaan sebenar
  36. Sombong antara sesama manusia
  37. Suka berbantah dan bertengkar sesama Muslim
  38. Melampaui batas yang digariskan oleh Allah -Perbuatan yang menurut kehendak nafsu sehingga boleh tersesat dan menyesatkan pada jalan yang benar sebagaimana Yahudi dan Nasrani.
  39. Berputus asa dalam menghadapi cabaran hidup
  40. Membazir dalam memanfaatkan nikmat Allah
  41. Keluh kesah apabila ditimpa musibah
  42. Mengkhianat sesuatu amanah
  43. Memutuskan silaturahim
  44. Memecahbelahkan perpaduan kaum Muslimin
  45. Menghalalkan yang haram
  46. Membuat kerosakan di muka bumi
  47. Menuduh orang beriman - Orang munafik mempunyai pendirian yang lemah dan amat sedikit memiliki ilmu pengetahuan tentang perkara yang bermanfaat dan memudaratkan. Justeru, mereka menuduh orang beriman atau kurang ilmu pengetahuan dalam urusan kehidupan.
  48. Mengubah dan menyalahgunakan ayat-ayat Allah
  49. Bersumpah dengan selain nama Allah SWT
  50. Merasa gembira apabila musibah menimpa orang beriman
Ya Allah,sungguh berat dosa orang munafik ini! Adakah kita tergolong dalam perkara-perkara diatas?? Nauzubillahi min zalik! Ayuh kita didik semula diri kita agar kembali ke jalanNya yang diredhai.Amat wajar kita berusaha sedaya upaya kita menghindari diri daripada terjerumus ke arah ciri-ciri munafik  seperti yang disenaraikan seperti di atas kerana sifat-sifat yang disebutkan itu boleh membahayakan akidah dan kita tentu  sekali tidak mahu balik kampung akhirat dengan tangan kosong. Lalu, ke manakah kita akan pergi nanti?


Imam al-Ghazali pernah menyebut, “Sesungguhnya mengetahui perkara negatif  itu bukan untuk mengikutinya sebagai teladan, tetapi bertujuan untuk menghindarinya dan dijadikan sempadan.”

Secara fitrahnya, kita tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan kesalahan.Sudah tentu saban hari kita menuturkan kata-kata, membuat janji dan memikul amanah.

Persoalannya :
  1. Adakah kita melakukan segala perbuatan dengan cara yang betul menurut kehendak Islam?
  2. Ataupun kita melakukan perbuatan itu mengikut cara orang munafik melakukannya?
Persoalan ini hanya mampu dijawab  dengan positif  bagi mereka yang memiliki iman yang kukuh. Apakah tindakan kita selama ini seperti golongan munafik ini?


Bagaimanakah kita dapat menghadapi  golongan munafik ini? 

Pertama, kita mestilah mempelajari Islam sedalam yang boleh dengan mengikuti kelas-kelas pengajian supaya kita tidak mudah tertipu. Kita tidak  mahu disebabkan oleh kejahilan, kita sendiri yang mencemarkan Islam.

Kedua, berhati-hatilah dengan siapa kita berkawan. Sekiranya kawan kita itu mengajak kepada yang mungkar dan meninggalkan yang makruf, nasihatilah dengan baik.

Tanganilah segala permasalahan berpandukan syariat Islam. Sentiasalah bermuhasabah diri supaya setiap hari kita dijauhi daripada memiliki sifat-sifat munafik.
Allah SWT telah berfirman:“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan memberi jalan keluar dan mengurniakan rezeki dari arah yang tidak disangka-
sangka datangnya.” (Surah at-Talaq ayat 2)

wallahua'alam

No comments:

Post a Comment