Showing posts with label baik. Show all posts
Showing posts with label baik. Show all posts

Saturday, May 14, 2011

Wahai Pemimpin Wanita!

Assalamu'alaikum wbt


Sedang saya membaca bahan-bahan ilmiah di internet,saya terbaca suatu artikel di blog http://panduanislam.com/blog/ . Saya tertarik dengan artikel tersebut kerana saya teringat ketika saya berada di tingkatan 3 dahulu,guru Bahasa Melayu ada menyuruh saya untuk membuat karangan dan artikel ini hampir sama dengan karangan yang saya buat! subhanallah! :) tetapi artikel ini lebih mantap dan menarik dari karangan saya. Saya ingin berkongsi artikel ini dengan para pembaca semua.


Artikel ini menceritakan tanggungjawab seorang lelaki yang menjadi pemimpin kepada seorang wanita. Ya,jika kita lihat di zaman kini,pelbagai masalah,jenayah yang berlaku. Saya tidak menyalahkan lelaki seratus peratus kerana masalah ini melibatkan dua pihak antara kaum lelaki dan wanita. Jadi,tidak wajarlah saya menyalahkan kaum lelaki seratus peratus,bukan? Allah menciptakan lelaki dengan pelbagai tanggungjawab begitu juga dengan wanita yang mempunyai tanggungjawab tersendiri. Bersama kita mengambil pengajaran dari artikel ini~


Dalam permasalahan isu buang bayi yang semakin banyak sehingga ke hari ini, masyarakat terus menyalahkan pihak wanita yang kononnya lemah, mudah terpedaya dan sebagainya. Namun, kita sering melupakan bahawa isu ini bukan hanya berpunca dari satu pihak sahaja.“Tepuk Sebelah Tangan Takkan Berbunyi”. Kita sering melupakan bahawa kelahiran  yang sepatutnya suci murni itu turut dicemarkan oleh “ayah” yang tidak bertanggungjawab. Maka seeloknya kita merenung kembali peranan lelaki terhadap wanita seperti yang dianjurkan oleh Allah dalam Al Quran;


” Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka…”
(Surah al-Nisa’, 4:34).

Jika kita sama-sama renung ayat ini, terdetikkah di hati kita betapa besar dan beratnya amanah yang telah Allah berikan kepada kaum lelaki untuk menjadi pemimpin pada wanita. Betapa Allah telah memberi kepercayaan pada lelaki untuk memikul amanah itu kerana beberapa kelebihan yang Allah berikan pada lelaki dan tidak ada pada wanita.

Namun, hari ini, adakah lelaki telah berperanan sebagai pemimpin dan adakah wanita juga telah menjalankan peranan sebagai orang yang dipimpin.
Bukannya untuk menyalahkan lelaki atau perempuan, namun untuk kita merenung kembali fitrah yang telah ditetapkan oleh Allah tentang peranan lelaki dan perempuan. Allah mengurniakan kepada lelaki sifat yang gagah, rasional dan bersifat suka pada penyelesaian. Sebaliknya perempuan dikurniakan sifat lemah lembut, beremosi dan sukakan sesuatu yang bersifat proses. Lihatlah, Allah Yang Maha Bijaksana mencipta lelaki dan perempuan dengan satu sifat yang saling melengkapi, bukan untuk menunjuk-nunjuk siapa yang lebih dominan, tapi untuk berganding bahu memainkan peranan supaya tidak pincang kehidupan ini. Lelaki itu sepatutnya pemimpin, bukan diktator!

Allah telah memuliakan lelaki sebagai pemimpin kepada wanita. Islam telah meletakkan garis panduan yang lengkap sebetulnya bagaimana peranan pemimpin yang dimainkan oleh lelaki. Peranan lelaki sebagai suami, ayah, abang dan anak itu adalah sebagai pelindung kepada wanita-wanita di bawah tanggungjawabnya. Antara peranan lelaki dalam melindungi wanita dan keluarganya adalah;
  • Memastikan prinsip Islam terlaksana dalam keluarga.
  • Menjadi teladan yang baik.
  • Memastikan komunikasi yang baik dalam keluarga.
  • Memastikan keluarga terhindar dari azab neraka.
“Hai orang-orang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka..”
(At-Tahrim, 66:6)

Wahai lelaki, jika anda tahu betapa pentingnya peranan anda dalam kehidupan wanita, pasti anda sebagai lelaki tidak akan sanggup membiarkan kekasih-kekasih anda membuang “benih” yang telah anda semai. Pasti anda tidak sanggup membiarkan ibu anda meniti hari-hari tua tanpa kasih sayang dari anda, dan pasti jua anda tidak tegar untuk menjadi dayus dengan membiarkan isteri-isteri dan anak-anak perempuan anda dipukul, dan dibiarkan tanpa pembelaan dan nafkah.
Namun, bagaimana seharusnya lelaki sebagai pemimpin? Adakah umpama diktator yang hanya memberi arahan? Tidak sama sekali! Islam tidak pernah memuliakan lelaki sebagai pemimpin dengan tujuan supaya ia dapat menindas kaum perempuan. Malah Islam telah menganjurkan lelaki supaya berlemah lembut dengan wanita. Misalnya, suami diangkat sebagai ketua keluarga, namun Islam tidak menidakkan hak isteri untuk berbincang dan memberi idea atau cadangan. Islam meletakkan hak pada suami untuk memukul isteri, namun ia adalah jalan terakhir dan dengan penuh hikmah. Bahkan Rasulullah sendiri menganjurkan supaya berbuat baik dengan isteri. 
“Lelaki yang paling baik adalah lelaki yang paling baik terhadap isteri dan keluarga”.


Sesungguhnya, wanita itu satu amanah dari Allah, maka lindungilah ia kerana ia jua 
sebahagian dari lelaki.
“Wahai manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan dari pada kedua-duanya Allah mengembang biakkan lelaki dan perempuan yang banyak”
(Surah Al- Araf:189)

 wallahu'alam

Sunday, May 1, 2011

الصداقة [Persahabatan]

Assalamu'alaikum wbt



Dalam usia yang semakin meningkat ini,saya banyak melihat orang disekeliling saya yang terdiri daripada pelbagai jantina,peringkat umur,ragam dan pangkat. Orang kata jika kita berkawan dengan ramai orang,diri kita akan menjadi lebih matang. Betulkah? Yup,saya sangat setuju dengan penyataan tersebut!. JIka bergaul dengan ramai orang,minda kita akan lebih meluas kerana setiap orang mempunyai fikiran dan cara hidup yang tersendiri. Saya sangat bersyukur kerana didampingi orang-orang yang baik walaupun ada segelintir yang kurang. Itu lumrah kehidupan! nak berkawan dengan yang baik sahaja memang tidak akan jumpalah kan. Sebaik mana pun seseorang itu,tetap ada kelemahan dan kekurangannya.


Saya ingin berkongsi tentang bagaimana mencari sahabat yang sebenar-benar SAHABAT!. Kawan mungkin ramai yang boleh dijadikan kawan tetapi untuk mencari sahabat,bagi saya amatlah sukar kerana tidak semua boleh dijadikan sahabat.






NASIHAT yang boleh diikuti dalam membina persahabatan ialah sebagaimana pesanan Al-Qamah (seorang sahabat Rasulullah saw) kepada anaknya:

Pertama:
Pilihlah sahabat yang suka melindungi sahabatnya, dia adalah hiasan diri kita dan jika kita dalam kekurangan nafkah, dia suka mencukupi keperluan...



Kedua:
Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, dia suka menerima dengan rasa terharu, jikalau ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menghitung-hitungkan (menyebutnya).



Ketiga:
Pilihlah seorang sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu dan dianggap sangat berguna, dan jika ia mengetahui mengenai keburukan dirimu ia suka menutupinya.



Keempat:
Pilihlah sahabat yang jikalau engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jikalau engkau diam, dia mula menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu dan meringankanmu serta menghiburkanmu.



Kelima:
Sahabat yang jikalau engkau berkata, ia suka membenarkan ucapan dan bukan selalu
mempercayainya saja. Jikalau engkau mengemukakan sesuatu persoalan yang berat dia
suka mengusahakannya dan jika engkau berselisih dengannya, dia suka mengalah untuk
kepentinganmu.


Dalam memilih sahabat kita hendaklah memilih sahabat yang baik agar segala matlamat dan hasrat untuk memperjuangkan Islam dapat dilaksanakan bersama-sama sahabat yang mulia.

Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara :
"Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan,
Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu, 

Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu,
dan dosa-dosa yang silam disulami dengan taubat kepada Dzat yang Memilikimu."



wallahu'alam

Thursday, March 31, 2011

Nak Pahala Tak??

Assalamu'alaikum wbt


Dalam menelusuri hidup ini,pelbagai mehnah dan ujian yang kita lalui.Kita hendaklah sentiasa beringat bahawa Allah sememangnya mendatangkan ujian kepada hambanya bagi menilai sejauh mana hambanya ini memikul dan menyelesaikannya hingga sampai ke satu tahap bahawa kita merasakan 'MANIS'nya ujian itu.

Rasanya ramai yang lebih berkelayakan dari saya untuk memberi tazkirah pada sahabat, cuma pada kali ini saya cuba memberi sekadar yang termampu buat sahabat sebagai panduan menjalani hidup di dunia ini.Kita kan insan yang selalu dalam kelalaian dan kealpaan. Insan ini perlu diingat-ingatkankan selalu agar senantiasa dalam jalan yang benar dan tidak menyimpang mengikut hawa nafsu yang sentiasa nak merosakkan jiwa manusia. Sahabat memperingatkan saya dan saya pula memperingatkan sahabat. Betulkan?

Sahabat, sememangnya memperbaiki diri ini bukan satu kerja yang senang apatah lagi terpaksa melalui jalan yang agak sukar sehingga sampai ke satu destinasi yang selamat yang dimimpi-mimpikan oleh semua jiwa yang suci. Jiwa sahabat adalah jiwa yang suci lagi murni jika teransang untuk mengubah diri dari segala kekotoran jiwa sebelum ini kepada jiwa yang putih laksana salju pada kedinginan musim sejuk. Adakah kita rasa 'SENSITIF' terhadap peribadi kita? Bukti sensitifnya kita terhadap diri kita adalah kita sentiasa muhasabah diri kita. Orang yang selalu muhasabah ialah orang yang sensitif terhadap dirinya. Agak-agak bagaimana muhasabah itu berlaku ya?

Tiap-tiap hari MUHASABAH/MENGHITUNG DIRI mesti berlaku. Kita menghisab/menghitung segala apa yang kita lakukan pada hari tersebut. Hari ini banyak mana kebaikan yang kita lakukan . Banyak mana kejahatan yang kita lakukan. Cuma saya nak pesan pada sahabat tentang satu perkara penting yang perlu diberi perhatian! [Kita digalakkan agar JANGAN mengingati segala kebaikan yang kita telah buat seharian. Jangan selalu ingat dan ungkit-ungkit perkara kebaikan yang kita buat. Jangan! Kerana ingatan sedemikian itu akan melahirkan satu rasa yang negatif. Iaitu kita rasa yang kita sentiasa dalam kebaikan dan mungkin datang perasaan bangga bahawa kita ni baik dan berperibadi mulia. Ini lah bahayanya. Lepas itu kita akan berkurangan melakukan kebaikan dan malas membuat kebajikan lagi. Berasa cukup dengan apa yang telah dilakukan sebelum ini.]




Kita digalakkan untuk berfikir dan mencari ruang kebaikan yang akan kita buat pada hari esok dan berikutnya. Kita mesti fikir tentang itu. Maksudnya esok mesti ada kebaikan yang kita lakukan. Saya mahu beri satu contoh yang waqi'/praktikal berada di dalam kehidupan kita. Pada hari sahabat baca artikel ini, adalah hari yang pertama. Muhasabah berjalan seperi biasa. Kata sahabat (di dalam hati), esok sahabat mahu buat kebaikan. Dan hari esok pun menjelma buat sahabat dengan taqdir Allah. Sahabat harus mencari ruang untuk melakukan kebaikan. Oh ya! Ruang untuk kita melakukan kebaikan ada yang datang secara kita tak jangka dan ada yang dah kita jangka. Yang kita jangka seperti, selepas solat Subuh sahabat baca Al-Quran, berzikir, berwirid dan lain2 kebaikan. Yang kita tak jangka seperti ada peminta sedekah yang meminta sedekah di luar masjid, ada orang buta yang kehilangan peneman jalan dan ada mak cik tua yang tak mampu memikul beban barang yang dibawa. Semua itu 'BONUS' dari Allah buat kita sebagai ruang mencari kebaikan. Di situlah kita menabur kebaikan. Mana kita sangka, ada orang buta itu datang sebagai 'bonus' pada kita. Tetapi ia adalah ujian Allah buat manusia untuk melihat apa tindakan kita. Pahala tersembunyi melalui orang buta itu. Kalau kita tak buat, maka hilanglah 'bonus' itu kan!



Kesimpulan dari perkara ini ialah kita mesti berfikir akan kebaikan yang akan kita lakukan dan JANGAN sekali-kali kita fikir/ungkit-ungkit kebaikan yang telah kita lakukan!

Manakala perkara kejahatan pula wahai sahabatku, Kita tak payah susah-susah fikir/ungkit-ungkit kejahatan yang akan dilakukan. Siapa yang beranggapan seperti itu maksudnya hati itu kotor! Ya lah... Beranggapan yang negatif. Ingin membuat kejahatan.

Bagi muslim sebenar, kita kena renung dan fikir atau kita kena selalu ungkit-ungkit akan kejahatan yg telah kita lakukan. Moga-moga ia menimbulkan kesedaran pada kita bahawa lemahnya kita. Selepas berfikir itu, kita mestilah susuli dengan rasa penyesalan dan tak mahu kembali lagi ke desa kekotoran dan kejahatan tadi. Yang lepas tu biarlah berlalu. Tapi janganlah kita tanam cita-cita untuk mengulangi kejahatan yang lalu.
 




wallahu'alam

Saturday, March 19, 2011

Jujur itu Cerminan Diri Kan?


Assalamu’alaikum wbt

Manusia...semakin hari semakin hilang sifat jujurnya..adakah mereka itu dikategorikan sebagai MUNAFIK??! Munafik bukanlah sesuatu yang boleh dipandang enteng oleh setiap manusia yang hidup di alam fana ini. Apakah ciri-ciri orang yang munafik dan apakah pula kesannya?Ayuh,kita bersama merungkai erti munafik yang sebenar!

Jika ditanya,adakah kita ini munafik?agaknya apa jawapan kita??Munafik itu berasal daripada perkataan arab yang bermaksud hipokrit.Apakah maksud hipokrit?Hipokrit mengikut kamus dewan ialah orang yang berpura-pura berperangai (berkelakuan, bersifat, dll) baik, (orang yang) memperlihatkan keadaan diri yg berlainan daripada yg sebenarnya.

Golongan munafik ini sebenarnya sudah wujud sewaktu hayat Rasulullah SAW lagi. Istilah itu digunakan bagi merujuk kepada golongan yang hanya berpura-pura mengikuti ajaran Islam, tetapi hakikatnya mereka tidak mengakui atau ragu-ragu terhadap kebenaran Islam dalam hati. 

Firman Allah yang bermaksud: "Apabila orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau sebenar-benarnya Rasul Allah. Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah Rasul-Nya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta." - (Surah al-Munafiqun, ayat 1) 

Begitulah Allah menerangkan dengan jelas perihal orang munafik dalam al-Quran sehingga Allah menamakan satu surah iaitu al-Munafiqun bagi menggambarkan betapa bahayanya sifat munafik terhadap agama Islam. 

Pada zaman Rasulullah SAW, perihal orang munafik itu lebih jelas apabila Baginda memerintahkan Muslimin untuk keluar berjihad di jalan Allah, maka golongan munafik akan segera berdolak-dalih dan memberi 1001 alasan bagi mengecualikan diri keluar berperang menentang Musyrikin ketika itu. 

Allah merakamkan keadaan itu menerusi firman-Nya yang bermaksud
: "Dan juga dengan tujuan Ia hendak melahirkan dengan nyata akan orang munafik yang dikatakan kepada mereka: Marilah berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam), atau pertahankanlah (diri, keluarga dan harta benda kamu). Mereka menjawab: Jika kami mengetahui bagaimana hendak berperang, tentulah kami mengikut kamu (turut berperang)." - (Surah Ali-Imran, ayat 167) 

Golongan munafik terbahagi kepada dua iaitu:-

  •    Munafik  I’tiqadi iaitu yang berkaitan dengan kepercayaan dalam hati. Mereka itu terdiri daripada golongan yang hanya beriman kepada Allah secara luaran saja. 

Hakikatnya mereka ragu dengan kebenaran Islam dan keesaan Allah. Mereka hanya berlakon di khalayak  ramai, tetapi sebenarnya mendustakan agama Allah yang dibawa oleh Rasul-Nya. Firman Allah yang bermaksud: "Dan di antara manusia ada yang berkata: Kami sudah beriman kepada Allah dan hari akhirat; padahal mereka sebenarnya tidak beriman."-(Surah al-Baqarah, ayat 8)

Golongan itu akan dimasukkan ke tingkatan neraka paling bawah. Sesuai dengan penipuan dan kezaliman dilakukan terhadap diri mereka sendiri. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan terkebawah sekali dari (lapisan dalam) neraka." - (Surah an-Nisa’, ayat 145) 

  •     Munafik  'Amali iaitu berkaitan perbuatan. Rasulullah SAW menjelaskan dalam sabda yang bermaksud: "Tanda orang munafik itu ada tiga; apabila berkata ia berdusta, dan apabila berjanji ia mungkir dan apabila diberi amanah ia khianat." - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

Daripada dua hadis yang disebutkan di atas, tidak dapat dinafikan bahawa sifat-sifat yang menjadi pegangan golongan munafik kadang-kadang dihadapi oleh kita sendiri, sama ada dalam keadaan sedar mahupun tidak. Contohnya ialah suka berbohong atau menipu, mungkir  janji atau mengkhianati amanah yang dipertanggungjawapkan di atas bahu kita.

Terkadang, kita sendiri tidak menyedari bahawa hampir kebanyakan daripada amalan sehari-harian kita adalah merupakan amalan ciri-ciri golongan munafik. Jadi, sentiasalah muhasabah diri dan prihatin dengan setiap apa yang akan dan telah kita lakukan. 
Sabda Rasulullah s.a.w.:
"Tiga perkara, barangsiapa yang berada di dalamnya, maka ia dicap munafik, sekalipun ia puasa, sembahyang dan mengaku dirinya seorang Muslim, iaitu; bila berbicara ia bohong, bila berjanji ia mungkiri dan bila menerima amanah dia khianati.
Sabda Baginda yang lain:
"Empat perkara yang jika seseorang manusia ada di dalamnya, maka ia menjadi munafik, dan barangsiapa mempunyai salah satu dari sifat-sifat itu, samalah seperti ia mempunyai sifat kemunafikan, sehingga dia menjauhinya lagi: Jika berbicara dia dusta, jika berjanji dia mungkiri, jika membuat pengakuan dia belot dan jika menuntut dia curang."
Ingin saya kongsikan  lagi ciri-ciri munafik yang dipetik dari  http://ustazmelaka.net/ :-
50 tanda-tanda orang munafik mengikut al-Quran dan as-Sunnah
  1. Malas beribadah kepada Allah SWT - Malas mengerjakan solat, segan untuk menempatkan diri di saf pertama, enggan mencari ilmu pengetahuan dan berat melangkah untuk ke majlis kebajikan.
  2. Lupa kepada Allah
  3. Melalaikan solat fardu - Sengaja melengahkan atau lambat menunaikan solat sehingga berada di akhir atau habis waktunya.
  4. Mempercepatkan pergerakan solat - Orang yang mempercepatkan solatnya tanpa rasa khusyuk dan lupakan Allah, maka solatnya tidak diterima Allah. Itulah solat orang yang munafik.
  5. Gemar meninggalkan solat berjemaah -Sihat dari segi fizikal dan jasmani, mempunyai waktu lapang dan tidak uzur syarie, tetapi tidak mahu mendatangi masjid ketika mendengar seruan azan.
  6. Meninggalkan solat Jumaat
  7. Melakukan dosa dan kemungkaran secara sembunyi -Berpura-pura melakukan kebaikan di tengah-tengah orang ramai dan gemar melakukan kemungkaran di belakang orang adalah dibenci Allah SWT.
  8. Menyuruh yang mungkar dan melarang yang ma’ruff.
  9. Menyembunyikan ilmu pengetahuan -Orang-orang yang memiliki ilmu dan apabila ditanya orang lain sedang dia mengetahui persoalan yang ditanyakan itu tetapi tidak menjelaskannya. Ini merupakan perbuatan yang menghalang kemajuan ummat Islam dan dapat menutup kebenaran.
  10. Mengamalkan riak
  11. Hasad dengki
  12. Dusta
  13. Mungkir janji
  14. Bakhil
  15. Fitnah -Menyampaikan keburukan orang lain di kalangan orang ramai supaya mereka membenci atau memusuhinya. Ia juga tergolong dalam sifat-sifat munafik dan dosa-dosa besar.
  16. Mencaci maki -Menyakiti orang lain dan mencemarkan maruah seseorang itu.
  17. Mengumpat
  18. Mengungkit pemberian kepada orang yang menyakiti hatinya -Mengungkit kembali pemberian kepada orang lain dengan harapan dikenang jasa dan sumbangannya serta ingin menyakiti hati orang lain. Perbuatan ini dicela dalam Islam.
  19. Mengingkari qadar (takdir) Allah -Sesungguhnya orang yang menolak, membenci atau mengingkari takdir Allah, tergolong dalam golongan kufur dan rosak iman dan mendapat azab serta kemurkaan Allah.
  20. Mempersendakan kesucian agama -Perbuatan mempersenda kesucian dan agama Islam adalah suatu yang amat dibenci dan dilarang dalam Islam kerana ianya seolah-olah menentang sesuatu yang diturunkan Allah.
  21. Enggan berjihad
  22. Menghina sahabat Rasulullah SAW -Perbuatan ini dianggap melanggar larangan baginda, berdosa besar dan termasuk dalam golongan orang munafik
  23. Menyembunyikan persaksian pada jalan yang benar
  24. Menangguhkan pembayaran hutang
  25. Menipu dalam jual beli -Perbuatan menipu ini adalah melibatkan amalan timbang atau sukat sesuatu barang tanpa kadar yang mencukupi atau menjual barangan yang rosak di mana menimbulkan rasa kecewa dan tidak puas hati pembeli pada akhirnya.
  26. Ghasab -Ghasab ialah mengambil atau menguasai harta (tanah) orang lain dengan jalan aniaya, iaitu jalan yang tidak diredhai Islam. Perbuatan ini walaupun dengan mengambil cuma sejengkal, adalah termasuk perbuatan dosa besar dan munafik.
  27. Bergaul dengan orang yang memperolokkan al-Quran
  28. Memakan harta anak yatim
  29. Membuka rahsia orang lain
  30. Merasa aman dari murka Allah apabila berbuat dosa -Apabila seseorang melakukan dosa dan merasa selamat dari murka dan seksaan Allah, maka anggapan ini adalah berdosa besar dan amalan orang-orang munafik.
  31. Memanggil orang dengan gelaran buruk yang tidak disukai
  32. Menghalangi orang dari mengamalkan ajaran Islam
  33. Suka kepada kesesatan dan menyesatkan orang lain
  34. Bermuka dua -Sikap ini ialah apabila diajak untuk mengikut jalan Allah, sengaja melambat-lambatkan dan tidak mahu. Tetapi, apabila diajak ke jalan yang dimurkai Allah, dengan senang dan cepat mereka menurutnya.
  35. Menyanjung dan memuji orang tanpa diketahui keadaan sebenar
  36. Sombong antara sesama manusia
  37. Suka berbantah dan bertengkar sesama Muslim
  38. Melampaui batas yang digariskan oleh Allah -Perbuatan yang menurut kehendak nafsu sehingga boleh tersesat dan menyesatkan pada jalan yang benar sebagaimana Yahudi dan Nasrani.
  39. Berputus asa dalam menghadapi cabaran hidup
  40. Membazir dalam memanfaatkan nikmat Allah
  41. Keluh kesah apabila ditimpa musibah
  42. Mengkhianat sesuatu amanah
  43. Memutuskan silaturahim
  44. Memecahbelahkan perpaduan kaum Muslimin
  45. Menghalalkan yang haram
  46. Membuat kerosakan di muka bumi
  47. Menuduh orang beriman - Orang munafik mempunyai pendirian yang lemah dan amat sedikit memiliki ilmu pengetahuan tentang perkara yang bermanfaat dan memudaratkan. Justeru, mereka menuduh orang beriman atau kurang ilmu pengetahuan dalam urusan kehidupan.
  48. Mengubah dan menyalahgunakan ayat-ayat Allah
  49. Bersumpah dengan selain nama Allah SWT
  50. Merasa gembira apabila musibah menimpa orang beriman
Ya Allah,sungguh berat dosa orang munafik ini! Adakah kita tergolong dalam perkara-perkara diatas?? Nauzubillahi min zalik! Ayuh kita didik semula diri kita agar kembali ke jalanNya yang diredhai.Amat wajar kita berusaha sedaya upaya kita menghindari diri daripada terjerumus ke arah ciri-ciri munafik  seperti yang disenaraikan seperti di atas kerana sifat-sifat yang disebutkan itu boleh membahayakan akidah dan kita tentu  sekali tidak mahu balik kampung akhirat dengan tangan kosong. Lalu, ke manakah kita akan pergi nanti?


Imam al-Ghazali pernah menyebut, “Sesungguhnya mengetahui perkara negatif  itu bukan untuk mengikutinya sebagai teladan, tetapi bertujuan untuk menghindarinya dan dijadikan sempadan.”

Secara fitrahnya, kita tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan kesalahan.Sudah tentu saban hari kita menuturkan kata-kata, membuat janji dan memikul amanah.

Persoalannya :
  1. Adakah kita melakukan segala perbuatan dengan cara yang betul menurut kehendak Islam?
  2. Ataupun kita melakukan perbuatan itu mengikut cara orang munafik melakukannya?
Persoalan ini hanya mampu dijawab  dengan positif  bagi mereka yang memiliki iman yang kukuh. Apakah tindakan kita selama ini seperti golongan munafik ini?


Bagaimanakah kita dapat menghadapi  golongan munafik ini? 

Pertama, kita mestilah mempelajari Islam sedalam yang boleh dengan mengikuti kelas-kelas pengajian supaya kita tidak mudah tertipu. Kita tidak  mahu disebabkan oleh kejahilan, kita sendiri yang mencemarkan Islam.

Kedua, berhati-hatilah dengan siapa kita berkawan. Sekiranya kawan kita itu mengajak kepada yang mungkar dan meninggalkan yang makruf, nasihatilah dengan baik.

Tanganilah segala permasalahan berpandukan syariat Islam. Sentiasalah bermuhasabah diri supaya setiap hari kita dijauhi daripada memiliki sifat-sifat munafik.
Allah SWT telah berfirman:“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan memberi jalan keluar dan mengurniakan rezeki dari arah yang tidak disangka-
sangka datangnya.” (Surah at-Talaq ayat 2)

wallahua'alam