Friday, April 29, 2011

Ragam Manusia...

Assalamu'alaikum wbt


Lain paku lainlah tajamnya, lain orang lainlah ragamnya. Manusia ini mempunyai otak yang dianugerahkan oleh Allah SWT mempunyai keupayaan untuk berfikir. Keupayaannya berbeza antara satu sama lain bergantung kepada banyak faktor, antaranya;

•   Pergaulan
•   Pemakanan
•   Pendidikan
•   Persekitaran
•   Pengalaman dan sebagainya.


Justeru itu, apabila banyak faktor yang memainkan peranan dalam proses pembentukan pemikiran seseorang, maka akan banyak pula timbul ideologi yang tidak sekata dan seragam. Apabila dikaji dari perangai manusia, rata-rata manusia akan berpegang pada pendapat atau ideologi diri mereka ataupun kumpulan yang disertai mereka. Amat jarang manusia yang sering saja tunduk pada ideologi orang lain dengan mudah melainkan manusia-manusia yang terlalu lemah pemikirannya. Justeru itu lah, jika tidak ada "guide line" yang jitu maka manusia akan menjadi berbeza pendapat, bertelagah dan boleh membawa kepada permusuhan.



Sebagai umat Islam, kita mempunyai aqidah yang satu yang mentauhidkan Allah Tuhan sekelian alam.


"Katakanlah: "Dia-lah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan, dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia".[Surah Al Ikhlas : 1 - 4]

Untuk itu kita mestilah merujuk kepada sumber yang diturunkan oleh Allah melalui Nabi Muhammad SAW iaitu 

Al-Quran dan Sunnah. Jika kita semua umat islam tidak mempunyai kesungguhan untuk merujuk secara total pada 
Al-Quran dan Sunnah maka secara tidak langsung kita akan menjadi lemah.

Pertama : Kerana kita tidak mendapat bantuan dari Allah kerana kita mengabaikan apa yang diwahyukanNya.
Kedua  : Kita akan mudah dikuasai oleh musuh ketat kita iaitu iblis laknatullah dan kuncu-kuncunya.


Cuba kita imbas kembali pada zaman Rasulullah dan para sahabat, walaupun mereka adalah golongan yang sedikit pada permulaan perkembangan Islam tetapi mereka dapat mengalahkan golongan yang jauh lebih ramai malah 2 3 kali ganda. Jika kita ikut logik akal kita , maka keadaaan itu adalah tidak logik kerana pada masa itu, pihak musuh lebih mempunyai kelengkapan perang yang lebih baik dari Nabi dan para sahabat. Tetapi bagaimana tentera-tentera Islam boleh menang? Itulah kekuatan aqidah yang bersumberkan pada wahyu yang mengikut secara total apa yang diajar oleh baginda Rasulullah SAW. Dengan kekuatan itu, insyaAllah tentera-tentera langit akan membantu iaitu para malaikat. 


Tanpa penyatuan yang merujuk kepada sumber wahyu secara total maka kita akan menjadi asing dengan agama kita sendiri dan akan wujudlah ideologi-ideologi yang muncul tanpa diundang. Ideologi-ideologi yang hanya menggunakan logik akal semata-mata. Kita mesti tahu bahawa syaitan-syaitan pun mahir dalam membuatkan fikiran kita merasakan sesuatu yang buruk dirasakan baik, dan perkara yang baik dirasakan buruk. Ini sudah kita nampak dengan jelas betapa ramainya umat Islam sendiri yang tidak suka kepada Hukum Allah yang Maha adil. Siapa kita mahu memberi komentar kepada Hukum Allah? Kalau lah betul kita sayangkan Allah seperti mana yang dituntut dalam agama, mengapa kita mesti membenci hukumNya? Mengapa kita sanggup mengeraskan kepala dengan mengatakan Hukum Allah tidak relevan pada masa sekarang?




"Dan janganlah kamu menukar ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit. Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir." [Surah Al Ma'idah : 44]

"Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim." [Surah Al Ma'idah : 45]


"Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik" [Surah Al Ma'idah : 47]

"Tetapi tidak, demi Tuhanmu. Mereka belum sebenarnya beriman sebelum mereka meminta keputusan kepadamu perkara-perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak menaruh keberatan dalam hatinya terhadap putusan yang engkau berikan itu dan mereka menyerah dengan penyerahan yang bulat-bulat. " [an-Nisa': 65]

"Hanya ucapan kaum mu'minin, apabila mereka diseru kepada jalan Allah dan RasulNya untuk memberikan hukum di antara mereka itu ialah mereka itu mengucapkan: "Kita semua mendengarkan dan mentaati." Mereka itu adalah orang-orang yang berbahagia." [an-Nur: 51]


Kita lihatlah di seluruh dunia sekarang, tiada negara yang tiada parti politik dan pertubuhan-pertubuhan yang pelbagai. Itu adalah kerana perbezaan ideologi. Dan ramai mana manusia yang bunuh-membunuh sesama sendiri kesan dari perbezaan ideologi ini. Untuk itu wahai kaum muslimin semua,perjuangkan lah apa yang di bawa oleh nabi kita dulu iaitu menegakkan hukum Allah di muka bumi ini dan janganlah kita menjadi pihak-pihak yang mengganggu usaha untuk menegakkan hukum Allah dengan mengikut selera dan hawa nafsu kita sendiri. Ikutlah apa yang sudah diberi panduan oleh pencipta kita. Dia mencipta kita, Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Jika kita perhatikan pun, apa yang diajar dalam Islam semuanya untuk kebaikan kita dunia dan akhirat. Segala apa yang diajar dalam Islam ada hikmahnya. Hidup ini adalah satu perjuangan, tetapi biarlah perjuangan itu demi Rabb kita, demi Tuhan yang menjadikan kita. Dan perintah untuk melaksanakan hukum Allah adalah wajib bagi kita sebagai hambaNya, itu pun jika kita mengaku kita adalah hamba Allah.


Jika sekiranya manusia masih lagi nak mempertahankan ideologi masing-masing tanpa kembali kepada hukum Allah, nescaya umat Islam akan semakin menuju kehancuran, na'uzubillah. Bumi yang kita tumpang ini masih lagi mendapat rahmat Allah dan keberkatanNya kerana masih ada lagi manusia-manusia yang memuji Allah. Masih lagi banyak binatang-binatang, tumbuh-tumbuhan dan makhluk-makhluk yang memuji Allah. Kerana itulah kita masih mendapat hujan dari Allah yang menyuburkan bumi, itu semua adalah rahmat Allah. Apabila bumi disiram oleh air hujan, bumi akan menjadi subur. Akan tumbuhlah tanam-tanaman yang akhirnya menjadi sumber mata pencarian kepada manusia. Dan dengan rahmat Allah juga lah, akan banyaklah bahan-bahan galian dari perut bumi. Sebab itu lah seorang kaya itu tidak boleh membuat harta yang dimilikinya itu secara total miliknya. Dalam hartanya itu terkandung hasil titik peluh orang lain, hasil doa dari orang-orang miskin dan beriman dan sebagainya. Sebab itu lah zakat wajib dalam Islam kerana rezeki itu adalah milik bersama yang dianugerahkan oleh Allah Ta'ala untuk menguji manusia, siapa yang jadi semakin tamak, merasa tidak cukup sentiasa dan sebagainya.


Jika sekiranya Allah tidak ada belas kasihan pada mereka nescaya dunia ini sudah hancur dek kerana perbuatan manusia sendiri yang membuas dengan hawa nafsu dan tidak takut kepada dosa. Insafilah dengan banyaknya berlaku bala yang menimpa kita sekarang ini. Jika kita tidak mahu ia semakin teruk dan melarat, rendah-rendahkan lah ego kita, tundukkanlah nafsu kita, sayangilah sesama manusia dengan tidak melakukan maksiat-maksiat yang boleh mengundang bala, kobarkan lah semangat jihad fii sabiilillah demi kita mendapat kehidupan yang bahagia di dunia dan di akhirat.


Ikut rasa binasa, ikut ideologi sendiri semata-mata merana akhirnya. Allah sudah menganugerahkan akal fikiran kepada kita untuk berfikir mana yang terbaik untuk kita ikuti. Maka sebaiknya lah kita gunakan akal kita ini dengan sebaik mungkin selagi kita tidak lari dari syariat Islam.




Dari Abu Said al-Khudri r.a. dari Nabi SAW sabdanya:

"Seutama-utamanya jihad ialah mengucapkan kalimat menuntut keadilan di hadapan seorang sultan - pemegang kekuasaan negara yang menyeleweng. "
Diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud dan Imam Tirmidzi.

Nabi SAW bersabda:
"Jangan demikian, demi Allah, nescayalah engkau semua itu wajib memerintahkan kebaikan, melarang dari kemungkaran, mengambil tangan orang yang zalim - yakni menghentikan kezalimannya - serta mengembalikannya atas kebenaran yang sesungguhnya, juga membasmi tindakannya kepada yang hak saja dengan pembatasan yang sesungguh-sungguhnya. Atau jikalau semua itu tidak dilakukan, maka nescayalah Allah akan memukulkan - membencikan - hati setengahmu terhadap setengahnya kemudian melaknati - mengutuk - engkau semua sebagaimana Dia mengutuk mereka - Bani Israil."
Diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Tirmidzi.

Dari Abu  Said al-Khudri  r.a. katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Barangsiapa di antara engkau semua melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah mengubahnya itu dengan tangannya, jikalau tidak dapat -( dengan atau kekuasaannya) , maka dengan lisannya -(dengan jalan menasihati orang yang melakukan kemungkaran tadi )-dan jikalau tidak dapat juga - (dengan lisannya), maka dengan hatinya - (maksudnya hatinya mengingkari serta tidak menyetujui perbuatan itu). Yang sedemikian itu - (yakni dengan hati saja) - adalah selemah-lemahnya keimanan."
(Riwayat Muslim)

wallahu'alam



[x tau nak cakap camne politik zaman sekarang~hurmm..agak jelek untuk membaca.makin lama,makin merepek!]

No comments:

Post a Comment