Showing posts with label akal. Show all posts
Showing posts with label akal. Show all posts

Friday, April 29, 2011

Ragam Manusia...

Assalamu'alaikum wbt


Lain paku lainlah tajamnya, lain orang lainlah ragamnya. Manusia ini mempunyai otak yang dianugerahkan oleh Allah SWT mempunyai keupayaan untuk berfikir. Keupayaannya berbeza antara satu sama lain bergantung kepada banyak faktor, antaranya;

•   Pergaulan
•   Pemakanan
•   Pendidikan
•   Persekitaran
•   Pengalaman dan sebagainya.


Justeru itu, apabila banyak faktor yang memainkan peranan dalam proses pembentukan pemikiran seseorang, maka akan banyak pula timbul ideologi yang tidak sekata dan seragam. Apabila dikaji dari perangai manusia, rata-rata manusia akan berpegang pada pendapat atau ideologi diri mereka ataupun kumpulan yang disertai mereka. Amat jarang manusia yang sering saja tunduk pada ideologi orang lain dengan mudah melainkan manusia-manusia yang terlalu lemah pemikirannya. Justeru itu lah, jika tidak ada "guide line" yang jitu maka manusia akan menjadi berbeza pendapat, bertelagah dan boleh membawa kepada permusuhan.



Sebagai umat Islam, kita mempunyai aqidah yang satu yang mentauhidkan Allah Tuhan sekelian alam.


"Katakanlah: "Dia-lah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan, dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia".[Surah Al Ikhlas : 1 - 4]

Untuk itu kita mestilah merujuk kepada sumber yang diturunkan oleh Allah melalui Nabi Muhammad SAW iaitu 

Al-Quran dan Sunnah. Jika kita semua umat islam tidak mempunyai kesungguhan untuk merujuk secara total pada 
Al-Quran dan Sunnah maka secara tidak langsung kita akan menjadi lemah.

Pertama : Kerana kita tidak mendapat bantuan dari Allah kerana kita mengabaikan apa yang diwahyukanNya.
Kedua  : Kita akan mudah dikuasai oleh musuh ketat kita iaitu iblis laknatullah dan kuncu-kuncunya.


Cuba kita imbas kembali pada zaman Rasulullah dan para sahabat, walaupun mereka adalah golongan yang sedikit pada permulaan perkembangan Islam tetapi mereka dapat mengalahkan golongan yang jauh lebih ramai malah 2 3 kali ganda. Jika kita ikut logik akal kita , maka keadaaan itu adalah tidak logik kerana pada masa itu, pihak musuh lebih mempunyai kelengkapan perang yang lebih baik dari Nabi dan para sahabat. Tetapi bagaimana tentera-tentera Islam boleh menang? Itulah kekuatan aqidah yang bersumberkan pada wahyu yang mengikut secara total apa yang diajar oleh baginda Rasulullah SAW. Dengan kekuatan itu, insyaAllah tentera-tentera langit akan membantu iaitu para malaikat. 


Tanpa penyatuan yang merujuk kepada sumber wahyu secara total maka kita akan menjadi asing dengan agama kita sendiri dan akan wujudlah ideologi-ideologi yang muncul tanpa diundang. Ideologi-ideologi yang hanya menggunakan logik akal semata-mata. Kita mesti tahu bahawa syaitan-syaitan pun mahir dalam membuatkan fikiran kita merasakan sesuatu yang buruk dirasakan baik, dan perkara yang baik dirasakan buruk. Ini sudah kita nampak dengan jelas betapa ramainya umat Islam sendiri yang tidak suka kepada Hukum Allah yang Maha adil. Siapa kita mahu memberi komentar kepada Hukum Allah? Kalau lah betul kita sayangkan Allah seperti mana yang dituntut dalam agama, mengapa kita mesti membenci hukumNya? Mengapa kita sanggup mengeraskan kepala dengan mengatakan Hukum Allah tidak relevan pada masa sekarang?




"Dan janganlah kamu menukar ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit. Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir." [Surah Al Ma'idah : 44]

"Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim." [Surah Al Ma'idah : 45]


"Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik" [Surah Al Ma'idah : 47]

"Tetapi tidak, demi Tuhanmu. Mereka belum sebenarnya beriman sebelum mereka meminta keputusan kepadamu perkara-perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak menaruh keberatan dalam hatinya terhadap putusan yang engkau berikan itu dan mereka menyerah dengan penyerahan yang bulat-bulat. " [an-Nisa': 65]

"Hanya ucapan kaum mu'minin, apabila mereka diseru kepada jalan Allah dan RasulNya untuk memberikan hukum di antara mereka itu ialah mereka itu mengucapkan: "Kita semua mendengarkan dan mentaati." Mereka itu adalah orang-orang yang berbahagia." [an-Nur: 51]


Kita lihatlah di seluruh dunia sekarang, tiada negara yang tiada parti politik dan pertubuhan-pertubuhan yang pelbagai. Itu adalah kerana perbezaan ideologi. Dan ramai mana manusia yang bunuh-membunuh sesama sendiri kesan dari perbezaan ideologi ini. Untuk itu wahai kaum muslimin semua,perjuangkan lah apa yang di bawa oleh nabi kita dulu iaitu menegakkan hukum Allah di muka bumi ini dan janganlah kita menjadi pihak-pihak yang mengganggu usaha untuk menegakkan hukum Allah dengan mengikut selera dan hawa nafsu kita sendiri. Ikutlah apa yang sudah diberi panduan oleh pencipta kita. Dia mencipta kita, Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Jika kita perhatikan pun, apa yang diajar dalam Islam semuanya untuk kebaikan kita dunia dan akhirat. Segala apa yang diajar dalam Islam ada hikmahnya. Hidup ini adalah satu perjuangan, tetapi biarlah perjuangan itu demi Rabb kita, demi Tuhan yang menjadikan kita. Dan perintah untuk melaksanakan hukum Allah adalah wajib bagi kita sebagai hambaNya, itu pun jika kita mengaku kita adalah hamba Allah.


Jika sekiranya manusia masih lagi nak mempertahankan ideologi masing-masing tanpa kembali kepada hukum Allah, nescaya umat Islam akan semakin menuju kehancuran, na'uzubillah. Bumi yang kita tumpang ini masih lagi mendapat rahmat Allah dan keberkatanNya kerana masih ada lagi manusia-manusia yang memuji Allah. Masih lagi banyak binatang-binatang, tumbuh-tumbuhan dan makhluk-makhluk yang memuji Allah. Kerana itulah kita masih mendapat hujan dari Allah yang menyuburkan bumi, itu semua adalah rahmat Allah. Apabila bumi disiram oleh air hujan, bumi akan menjadi subur. Akan tumbuhlah tanam-tanaman yang akhirnya menjadi sumber mata pencarian kepada manusia. Dan dengan rahmat Allah juga lah, akan banyaklah bahan-bahan galian dari perut bumi. Sebab itu lah seorang kaya itu tidak boleh membuat harta yang dimilikinya itu secara total miliknya. Dalam hartanya itu terkandung hasil titik peluh orang lain, hasil doa dari orang-orang miskin dan beriman dan sebagainya. Sebab itu lah zakat wajib dalam Islam kerana rezeki itu adalah milik bersama yang dianugerahkan oleh Allah Ta'ala untuk menguji manusia, siapa yang jadi semakin tamak, merasa tidak cukup sentiasa dan sebagainya.


Jika sekiranya Allah tidak ada belas kasihan pada mereka nescaya dunia ini sudah hancur dek kerana perbuatan manusia sendiri yang membuas dengan hawa nafsu dan tidak takut kepada dosa. Insafilah dengan banyaknya berlaku bala yang menimpa kita sekarang ini. Jika kita tidak mahu ia semakin teruk dan melarat, rendah-rendahkan lah ego kita, tundukkanlah nafsu kita, sayangilah sesama manusia dengan tidak melakukan maksiat-maksiat yang boleh mengundang bala, kobarkan lah semangat jihad fii sabiilillah demi kita mendapat kehidupan yang bahagia di dunia dan di akhirat.


Ikut rasa binasa, ikut ideologi sendiri semata-mata merana akhirnya. Allah sudah menganugerahkan akal fikiran kepada kita untuk berfikir mana yang terbaik untuk kita ikuti. Maka sebaiknya lah kita gunakan akal kita ini dengan sebaik mungkin selagi kita tidak lari dari syariat Islam.




Dari Abu Said al-Khudri r.a. dari Nabi SAW sabdanya:

"Seutama-utamanya jihad ialah mengucapkan kalimat menuntut keadilan di hadapan seorang sultan - pemegang kekuasaan negara yang menyeleweng. "
Diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud dan Imam Tirmidzi.

Nabi SAW bersabda:
"Jangan demikian, demi Allah, nescayalah engkau semua itu wajib memerintahkan kebaikan, melarang dari kemungkaran, mengambil tangan orang yang zalim - yakni menghentikan kezalimannya - serta mengembalikannya atas kebenaran yang sesungguhnya, juga membasmi tindakannya kepada yang hak saja dengan pembatasan yang sesungguh-sungguhnya. Atau jikalau semua itu tidak dilakukan, maka nescayalah Allah akan memukulkan - membencikan - hati setengahmu terhadap setengahnya kemudian melaknati - mengutuk - engkau semua sebagaimana Dia mengutuk mereka - Bani Israil."
Diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Tirmidzi.

Dari Abu  Said al-Khudri  r.a. katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Barangsiapa di antara engkau semua melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah mengubahnya itu dengan tangannya, jikalau tidak dapat -( dengan atau kekuasaannya) , maka dengan lisannya -(dengan jalan menasihati orang yang melakukan kemungkaran tadi )-dan jikalau tidak dapat juga - (dengan lisannya), maka dengan hatinya - (maksudnya hatinya mengingkari serta tidak menyetujui perbuatan itu). Yang sedemikian itu - (yakni dengan hati saja) - adalah selemah-lemahnya keimanan."
(Riwayat Muslim)

wallahu'alam



[x tau nak cakap camne politik zaman sekarang~hurmm..agak jelek untuk membaca.makin lama,makin merepek!]

Wednesday, April 27, 2011

Berfikir Dari Segala Sudut

Assalamu'alaikum wbt

Manusia sentiasa berfikir dan berfikir selagi anugerah otak yang dianugerahkan oleh Allah SWT ini masih dapat berfungsi sebaik mungkin. Terutama dalam membuat keputusan untuk sesuatu perkara, atau mungkin juga berfikir dalam membuat penilaian tentang sesuatu.

Ramai di antara kita sememangnya mengetahui bahawa sesuatu keputusan yang baik yang diputuskan sudah tentu dipengaruhi oleh sudut-sudut pandangan tertentu. Semakin banyak sudut pandangan yang difikirkan maka sudah tentu keputusan dapat dihasilkan dengan cara yang terbaik. Tetapi bagaimana untuk berfikir dari sudut yang berbeza? Inilah yang menjadi sedikit sebanyak persoalan yang sering berlaku kepada mereka yang gagal untuk membuat keputusan yang baik.

      Berfikir dari banyak sudut bermaksud berfikir tentang sesuatu masalah atau perkara yang difikirkan dengan melihat tentang kebaikan dan keburukan, positif dan negatif dan juga tersurat dan tersirat kepada masalah tersebut. Terutama bila permasalahan yang banyak melibatkan antara hubungan manusia sesama manusia. Bukan mudah untuk membuat keputusan dalam situasi seperti ini. Perselisihan faham sering kali akan menjadi lebih buruk jika berfikir hanya dilihat dari satu sudut sahaja dan mendengar dari satu pihak semata-mata.

      Dalam situasi seperti ini cara berfikir amat penting dan perlu sensitif terhadap keseluruhan masalah. Jika konflik seumpama ini hanya difikirkan dari satu sudut sahaja atau mungkin mendengar dari satu pihak sahaja maka keputusan yang diputuskan sudah pasti akan memberi impak yang tidak baik dan juga bakal menyakiti hati sebahagian pihak yang lain.

      Berfikir dari banyak sudut perlu dilakukan secara rasional dan terbuka serta tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Jangan sekali-kali membuat keputusan dalam keadaan emosi yang tidak stabil seperti dalam keadaan marah, sedih atau juga mungkin bersikap untuk kepentingan diri dan peribadi. Andai perkara-perkara ini mempengaruhi setiap sudut pandangan maka sudah tentu keputusan yang dicipta juga tidak tepat dan akan mengundang konflik-konflik yang lebih sukar untuk diselesaikan.



wallahu'alam

Thursday, April 14, 2011

KISAH PEMUDA BERNAMA UZAIR

Pada suatu hari ketika 'Uzair memasuki kebunnya yang menghijau dengan pokok-pokok tamar dan tiba-tiba hatinya telah terpesona serta tertarik untuk memikirkan rahsia keindahan dan keajaiban alam ini. Sesudah memetik buah-buahan dia pulang dengan keldainya sambil menikmati keindahan-keindahan alam sekitarnya sehingga keldai yang ditungganginya tersesat jalan. Setelah sekian lama barulah dia sedar bahwa dia telah berada di suatu daerah yang tidak dikenali oleh beliau serta sudah jauh dari negerinya sendiri.

Sebaik saja dia sampai ke daerah itu dilihatnya kampung itu baru saja diserbu oleh musuh-musuh sehingga menjadi rosak-binasa sama sekali. Di tapak atau bekas runtuhan terdapat mayat-mayat manusia yang bergelimpangan yang sudah busuk serta hancur. Melihatkan pemandangan yang mengerikan itu, dia pun turun dari keldainya dengan membawa dua keranjang buah-buahan. Manakala keldainya itu ditambat di situ, kemudian dia pun duduk bersandar pada dinding sebuah rumah yang sudah runtuh bagi melepaskan penatnya. Dalam pada itu, fikirannya mula memikirkan mayat manusia yang sudah busuk itu.

"Bagaimana orang-orang yang sudah mati dan hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan kembali di negeri akhirat?" begitulah pertanyaan yang datang bertalu-talu da tidak terjawab olehnya sehingga dia menjadi lemah-longlai dan kemudian terus tertidur. Dalam tidur itu, dia seakan-akan bertemu dengan semua arwah (roh-roh) orang-orang yang sudah meninggal itu. Tidurnya amat luar biasa sekali, bukan hanya sejam atau semalam, tetapi dia telah tidur terus-menerus tanpa bangun-bangun selama seratus tahun lamanya.

Dalam masa dia tertidur itu, keadaan di sekitarnya sudah ramai lapisan baru, rumah serta bangunan-bangunan banyak yang telah didirikan. Dalam masa seratus tahun itu, segala-galanya sudah berubah, manakal 'Uzair tetap terus tidur tersandar di dinding buruk itu menjadi jasad (tubuh) yang tidak bernyawa lagi. Dagingnya sudah hancur dan tulang belulangnya sudah hancur lebur berderai. Kemudian jasad 'Uzair yang telah mati, daging dan tulangnya yang sudah hancur itu disusun kembali oleh Allah pada bahagiannya masing-masing lalu ditiupkan ruhnya. Dan ketika itu juga 'Uzair hidup kembali seperti dahulu. 'Uzair terus berdiri seperti orang yang bangun dari tidur lantas dia mencari keldai dan buah-buahannya di dalam keranjang dahulu.

Tidak berapa lama kemudian, turunlah beberapa malaikat seraya bertanya, "Tahukah engkau ya 'Uzair berapa lama engkau tidur?" Tanpa berfikir panjang 'Uzair menjawab, "Saya tertidur sehari dua ataupun setengah hari." Lalu malaikat pun berkata kepadanya, "Bahwa engkau terdampar di sini genap seratus tahun lamanya. Disinilah engkau berbaring, berhujan dan berpanas matahari, kadang-kadang ditiup badai dan berhawa sejuk dan juga panas terik. Dalam masa yang begitu panjang, makanan engkau tetap baik keadaannya. Tetapi cuba lihat keadaan keldai itu, dia sendiri pun sudah hancur dan dagingnya sudah busuk."

Berkata malaikat lagi, "Lihatlah dan perhatikanlah sungguh-sungguh. Demikianlah kekuasaan Allah. Allah dapat menghidupkan kembali orang yang sudah mati dan mengembalikan jasad-jasad yang sudah hancur lebur dan dengan semudah itu pulalah Tuhan akan membangkitkan semua manusia yang sudah mati itu nanti di akhirat untuk diperiksa dan diadili segala perbuatannya. Hal ini diperlihatkan oleh Tuhan kepada engkau supaya iman engkau tetap dan engkau sendiri dapat menjadi bukti kepada manusia-manusia lain supaya engkau dan manusia-manusia lain tiada syak dan ragu-ragu lagi tentang apa yang diterangkan Tuhan tentang akhirat itu."

Setelah 'Uzair melihat makanan dan keldainya yang sudah hancur itu, maka 'Uzair pun berkata, "Sekarang tahulah saya bahwa Allah itu adalah berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu." Tiba-tiba keldai yang sudah hancur berderai itu dilihatnya mulai dikumpulkan daging dan tulangnya. Dan akhirnya menjadi seperti sediakala iaitu hidup kembali bergerak-gerak dan berdiri sebagaimana sebelum mati. Maka 'Uzair pun berkata, "Sekarang tahulah saya bahwa Allah berkuasa di atas segala-galanya." Lalu dia pun terus mengambil keldainya dahulu dan terus menunggangnya pulang ke rumahnya dahulu dengan mencari-cari jalan yang sukar untuk dikenali. Dilihatnya segala-gala telah berubah. Dia cuba mengingati apa yang pernah dilihatnya seratus tahun dahulu. Setelah menempuhi berbagai kesukaran, akhirnya dia pun sampai ke rumahnya. Sebaik saja dia sampai di situ, dia mendapati rumahnya sudah pun buruk di mana segala dinding rumahnya telah habis runtuh. Semasa dia memandang keadaan sekeliling rumahnya, dia ternampak seorang perempuan tua, lantas dia pun bertanya, "Inikah rumah tuan 'Uzair?"

"Ya," jawab perempuan itu. "Inilah rumah 'Uzair dahulu, tetapi 'Uzair telah lama pergi dan tiada didengar berita tentangnya lagi sehingga semua orang pun lupa padanya dan saya sendiri tidak pernah menyebut namanya selain kali ini saja." Kata perempuan itu sambil menitiskan airmata.

'Sayalah 'Uzair," jawab 'Uzair dengan pantas. "Saya telah dimatikan oleh Tuhan seratus tahun dahulu dan sekrang saya sudah dihidupkan oleh Allah kembali." Perempuan tua itu terkejut seakan-akan tidak percaya, lalu dia pun berkata, "'Uzair itu adalah seorang yang paling soleh, doanya selalu dimakbulkan oleh Tuhan dan telah banyak jasanya di dalam menyembuhkan orang yang sakit tenat." Sambunya lagi, "Saya ini adalah hambanya sendiri, badan saya telah tua dan lemah, mata saya telah pun buta kerana selalu menangis terkenangkan 'Uzair. Kalaulah tuan ini 'Uzair maka cubalah tuan doakan kepada Tuhan suaya mata saya terang kembali dan dapat melihat tuan."

"Uzair pun mendaha kedua belah tangannya ke langit lalu berdoa ke hadrat Tuhan. Tiba-tiba mata orang rua itupun terbuka dan dapat melihat dengan lebih terang lagi. Tubuhnya yang tua dan lemah itu kembali kuat seakan-akan kembali muda. Setelah merenung wajah 'Uzair dia pun berkata, "Benar, tuanlah 'Uzair. Saya masih ingat." Hambanya itu terus mencium tangan 'Uzair lalu keduanya pergi mendapatkan orang ramai, bangsa Israil. 'Uzair memperkenalkan dirinya bahwa dialah 'Uzair yang pernah hidup di kampung itu lebih seratus tahun yang lalu.

Berita itu bukan saja mengejutkan bangsa Israil, tetapi ada juga meragukan dan ada yang tidak percaya kepadanya. Walau bagaimanapun berita itu menarik perhatian semua orang yang hidup ketika itu. Kerana itu mereka ingin menguji kebenaran 'Uzair. Kemudian datanglah anak kandungnya sendiri seraya bertanya, "Saya masih ingat bahwa bapa saya mempunyai tanda di punggungnya. Cubalah periksa tanda itu. Kalau ada benarlah dia 'Uzair." Tanda itu memang ada pada 'Uzair, lalu percayalah sebahagian daripada mereka. Akan tetapi sebahagian lagi mahukan bukti yang lebih nyata, maka mereka berkata kepada 'Uzair, "Bahwa sejak penyerbuan Nebukadnezar ke atas bangsa dan negara Israil dan setelah tentera tersebut membakar kitab suci Taurat, maka tiadalah seorang pun bani Israil yang hafal isi Taurat kecuali 'Uzair saja. Kalau benarlah tuan Uzair, cubalah tuan sebutkan isi Taurat yang betul."

'Uzair pun membaca isi Taurat itu satu persatu dengan fasih dan lancar serta tidak salah walaupun sedikit. Mendengarkan itu barulah mereka percaya bahwa sungguh benar itulah 'Uzair. Ketika itu, semua bangsa Israil punpercaya bahwa dialah 'Uzair yang telah mati dan dihidupkan semual oleh Tuhan. Banyak di antara mereka yang bersalam dan mencium tangan 'Uzair serta meminta nasihat dan panduan daripadanya. Tetapi sebahagian daripada kaum Yahudi yang bodoh menganggap 'Uzair sebagai anak Tuhan pula. Maha Suci Allah tidak mempunyai anak samada 'Uzair mahupun Isa kerana semua makhluk adalah kepunyaan-Nya belaka. Janganlah kita was-was tentang kekuasaan Allah, maka hendaklah dia fikir siapakah yang menciptakan dirinya itu. Adalah mustahil sesuatu benda itu terjadi dengan sendirinya tanpa ada yang menciptakan. Kalau masih ada orang yang ragu-ragu tentang kekuasaan Allah, ubatnya hanya satu saja, hendaklah dia membaca dan memahami al-Qur'an, was-was terhadap kekuasaan Allah itu hanya datangnya dari syaitan.

Allah S.W.T telah meletakkan komputer dalam kepala kita untuk berfikir, oleh itu gunakanlah akal kita untuk berfikir.