Assalamu'alaikum wbt
Perasaan sayang pada sahabat itu semakin bertambah dan terasa ukhwah yang terjalin itu semakin erat. Aku amat bersyukur kepada Ilahi kerana mengurniakan sahabat sejati lantas aku memanjatkan doa agar jalinan persahabatan itu akan terus berkekalan tanpa timbul apa-apa perasaan ataupun perkara buruk yang boleh merosakkannya.
Berkasih sayang itu adalah lumrah bagi setiap insan. Ia adalah fitrah yang telah ditiup masuk ke dalam roh yang diciptakan Ilahi tanpa memerlukan sebarang tunjuk ajar tentang bagaimana untuk berkasih sayang dan saling cinta mencintai.
Berkasih sayang di antara sahabat amatlah digemari Allah dan disarankan Islam. Apabila perasaan sayang itu menyinggah hati, tidak akan tergamak oleh seseorang itu untuk melukakan hati orang yang disayanginya. Maka, terhindarlah dia daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang Allah seperti mengumpat, menghina, mengata, tikam belakang dan sebagainya yang boleh merosakkan persahabatan itu.
"Seorang muslim adalah saudara bagi muslim yang lainnya, dia tidak akan mencelakakannya ataupun mendedahkan aibnya," (HR Bukhari)
Pejamlah matamu sejenak dan bayangkanlah sahabat-sahabat yang sentiasa menemanimu sesaat dirimu senang dan waktu dirimu menghadapi kesusahan. Bayangkanlah wajah-wajah sahabatmu yang sentiasa mengingatkanmu pada suruhan Ilahi dan menegurmu agar meninggalkan perkara-perkara kemungkaran.
Mereka itulah sahabat sejatimu dan sahabat sejati akan sentiasa membimbingmu selangkah mendekati Ilahi dan selangkah meninggalkan perkara-perkara yang dilarang Allah. Cintai dan sayangilah mereka setulus hatimu agar sempurna iman yang dimilikimu itu.
Sabda Rasulullah S.A.W "Belum sempurna iman kalian sampai kalian mencintai saudara kalian seperti halnya kalian mencintai diri kalian sendiri," (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)
Rindui & Doakanlah Kebaikannya!
Umar r.a. berkata "Demi Allah, sungguh aku merasa waktu malamku terlalu panjang apabila aku teringat kepada saudara seagamaku. Aku berharap agar waktu pagi segera tiba agar aku dapat memeluknya kerana aku begitu rindu ingin bertemunya,"
Selalulah mendoakan kebaikan sahabatmu itu walaupun tanpa pengetahuannya. Hanya kepada Allah sahajalah doa itu harus disampaikan seikhlasnya agar Dia memperkenankan doa-doamu itu dan menganugerahkan kebaikan yang sama seperti yang kamu doakan buat sahabatmu itu.
Berlapang Dada & Maafkanlah Kesilapannya
Ketika Rasulullah S.A.W. sedang duduk bersama para sahabat di masjid, baginda berkata kepada mereka "Salah seorang penghuni syurga akan datang,"
Tidak lama kemudian, datanglah seorang lelaki dengan janggut yang masih basah dan airnya masih menitis tanda bekas berwuduk. Dia solat dia dua rakaat dan kemudian duduk.
Pada hari kedua, Rasulullah S.A.W. menyatakan perkara yang sama seperti sebelumnya. Dan juga muncul juga adalah lelaki yang sama, begitu juga pada hari ketiga.
Akhirnya Ibnu Amru mengikuti lelaki tersebut dan memutuskan untuk menginap di rumahnya untuk melihat secara langsung solat, puasa dan ibadah istimewa yang dilakukan lelaki itu. Namun, Ibnu Amru tidak melihat sesuatu yang istimewa dari orang tersebut, sehingga dia pun bertanya tentang rahsia ibadah yang dilakukannya.
"Sesungguhnya aku tidur seperti biasa, namun dalam tidurku itu tidak ada rasa dengki ataupun ingin menipu sesama saudara-saudaraku sama sekali," ujar lelaki itu.
Ibnu Amru pun berkata "Inilah yang membuat kamu sampai pada darjat yang sangat tinggi dan inilah pula yang sukar kami lakukan," (Hadis Riwayat Ahmad)
Maka, berjanjilah pada dirimu sendiri bahawa kamu tidak akan sesekali akan mencelakakan mahupun melakukan tindakan yang boleh mendatangkan bahaya kepada sahabatmu itu. Berlapanglah dada dengan mereka dan maafkanlah kesilapan dan kekurangan mereka kerana tiada manusia yang sempurna dan dirimu juga tidak sempurna.
Maafkanlah dirinya sebagaimana dirimu mahu dimaafkan dan dilupakan kesalahan sewaktu dirimu tersilap langkah. Jadikanlah sifat maaf itu satu sedekah buat sahabatmu agar Allah meredhai hidupmu dan mengurniakan syurga kepadamu kelak.
May Allah bless us and give His Barakah to us. Allahumma Ameen.
wallahu'alam :)
credit to http://www.aishaardini.com/