Showing posts with label ukhuwah. Show all posts
Showing posts with label ukhuwah. Show all posts

Sunday, July 22, 2012

Istimewa Buat Akhawat Tersayang!

Assalamu'alaikum wbt


Perasaan sayang pada sahabat itu semakin bertambah dan terasa ukhwah yang terjalin itu semakin erat. Aku amat bersyukur kepada Ilahi kerana mengurniakan sahabat sejati lantas aku memanjatkan doa agar jalinan persahabatan itu akan terus berkekalan tanpa timbul apa-apa perasaan ataupun perkara buruk yang boleh merosakkannya.

Berkasih sayang itu adalah lumrah bagi setiap insan. Ia adalah fitrah yang telah ditiup masuk ke dalam roh yang diciptakan Ilahi tanpa memerlukan sebarang tunjuk ajar tentang bagaimana untuk berkasih sayang dan saling cinta mencintai.

Berkasih sayang di antara sahabat amatlah digemari Allah dan disarankan Islam. Apabila perasaan sayang itu menyinggah hati, tidak akan tergamak oleh seseorang itu untuk melukakan hati orang yang disayanginya. Maka, terhindarlah dia daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang Allah seperti mengumpat, menghina, mengata, tikam belakang dan sebagainya yang boleh merosakkan persahabatan itu.

"Seorang muslim adalah saudara bagi muslim yang lainnya, dia tidak akan mencelakakannya ataupun mendedahkan aibnya," (HR Bukhari)

Pejamlah matamu sejenak dan bayangkanlah sahabat-sahabat yang sentiasa menemanimu sesaat dirimu senang dan waktu dirimu menghadapi kesusahan. Bayangkanlah wajah-wajah sahabatmu yang sentiasa mengingatkanmu pada suruhan Ilahi dan menegurmu agar meninggalkan perkara-perkara kemungkaran.

Mereka itulah sahabat sejatimu dan sahabat sejati akan sentiasa membimbingmu selangkah mendekati Ilahi dan selangkah meninggalkan perkara-perkara yang dilarang Allah. Cintai dan sayangilah mereka setulus hatimu agar sempurna iman yang dimilikimu itu.

Sabda Rasulullah S.A.W "Belum sempurna iman kalian sampai kalian mencintai saudara kalian seperti halnya kalian mencintai diri kalian sendiri," (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)



Rindui & Doakanlah Kebaikannya!

Umar r.a. berkata "Demi Allah, sungguh aku merasa waktu malamku terlalu panjang apabila aku teringat kepada saudara seagamaku. Aku berharap agar waktu pagi segera tiba agar aku dapat memeluknya kerana aku begitu rindu ingin bertemunya,"

Selalulah mendoakan kebaikan sahabatmu itu walaupun tanpa pengetahuannya. Hanya kepada Allah sahajalah doa itu harus disampaikan seikhlasnya agar Dia memperkenankan doa-doamu itu dan menganugerahkan kebaikan yang sama seperti yang kamu doakan buat sahabatmu itu.

Berlapang Dada & Maafkanlah Kesilapannya

Ketika Rasulullah S.A.W. sedang duduk bersama para sahabat di masjid, baginda berkata kepada mereka "Salah seorang penghuni syurga akan datang,"

Tidak lama kemudian, datanglah seorang lelaki dengan janggut yang masih basah dan airnya masih menitis tanda bekas berwuduk. Dia solat dia dua rakaat dan kemudian duduk.

Pada hari kedua, Rasulullah S.A.W. menyatakan perkara yang sama seperti sebelumnya. Dan juga muncul juga adalah lelaki yang sama, begitu juga pada hari ketiga.

Akhirnya Ibnu Amru mengikuti lelaki tersebut dan memutuskan untuk menginap di rumahnya untuk melihat secara langsung solat, puasa dan ibadah istimewa yang dilakukan lelaki itu. Namun, Ibnu Amru tidak melihat sesuatu yang istimewa dari orang tersebut, sehingga dia pun bertanya tentang rahsia ibadah yang dilakukannya.

"Sesungguhnya aku tidur seperti biasa, namun dalam tidurku itu tidak ada rasa dengki ataupun ingin menipu sesama saudara-saudaraku sama sekali," ujar lelaki itu.

Ibnu Amru pun berkata "Inilah yang membuat kamu sampai pada darjat yang sangat tinggi dan inilah pula yang sukar kami lakukan," (Hadis Riwayat Ahmad)

Maka, berjanjilah pada dirimu sendiri bahawa kamu tidak akan sesekali akan mencelakakan mahupun melakukan tindakan yang boleh mendatangkan bahaya kepada sahabatmu itu. Berlapanglah dada dengan mereka dan maafkanlah kesilapan dan kekurangan mereka kerana tiada manusia yang sempurna dan dirimu juga tidak sempurna.

Maafkanlah dirinya sebagaimana dirimu mahu dimaafkan dan dilupakan kesalahan sewaktu dirimu tersilap langkah. Jadikanlah sifat maaf itu satu sedekah buat sahabatmu agar Allah meredhai hidupmu dan mengurniakan syurga kepadamu kelak.


EPILOG

Ya Allah Ya Tuhanku
Aku merindui salah seorang hamba-Mu
Yang pada satu ketikanya pernah menggembirakan hatiku
Aku ikhlas menyayanginya keranaMu Ya Allah
Aku merasakan sebuah kerinduan juga kerana-Mu Ya Allah

Ya Allah
Kau sayangilah dia sedalamnya
Kau temanilah dia sepanjang perjalanan hidupnya
Kau berikanlah dia kekuatan sesaat dia terlemah
Kau kurniakanlah jutaan kebaikan kepadanya
Kau berikanlah hidayah kepada dirinya
Kau bimbinglah dia ke jalan yang diredhai-Mu

Kau kurniakanlah dia kejayaan hakiki
Kau berikanlah dia hati yang bersih lagi suci
Kau anugerahkanlah dia keyakinan diri yang tiada berbelah bagi
Kau satukanlah dia dengan lelaki yang baik dan soleh
Kau berikanlah dia ilmu-ilmu yang berguna
Kau permudahkanlah segala urusannya
Kau sinarilah diri dan bicaranya dengan kejujuran
Kau ringankanlah beban dan tanggungjawab yang ditanggungnya

Kau kurniakanlah keringanan hati padanya untuk memperbanyakkan ibadah kepada-Mu
Kau kuatkanlah hatinya untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan
Kau bahagiakanlah dia dengan sahabat-sahabat yang senantiasa membimbingnya ke jalan-Mu
Kau serikanlah hatinya dengan perasaan cinta yang agung kepadaMu
Kau kurniakanlah dia anak-anak yang soleh dan solehah
Kau tempatkanlah dia di syurga-Mu yang indah
Kau jauhilah dia dari neraka-Mu yang panas membakar

Kau berikanlah kelembutan pada hatinya
Kau kurniakanlah dia sifat maaf yang akan memuliakannya
Kau berikanlah kekuatan kepada dia untuk tersenyum walaupun menghadapi kesukaran hidup
Kau tempatkanlah dia dalam kalangan orang beriman bila ajalnya kelak
Kau jadikanlah dia seorang yang sentiasa mahu memperbaiki dirinya

Kau benarkanlah dia mewariskan ilmu-ilmu berguna kepada anak didiknya
Kau berikanlah ketenangan di jiwanya
Kau indahkanlah cahaya wajah dan hatinya
Kau jauhilah dia dari bicara dan perkara yang sia-sia
Kau sucikanlah hatinya daripada sebarang prasangka buruk
Kau berikanlah dia keimanan yang teramat teguh

Akan apa yang telah terjadi
Telah aku merelakan segalanya
Akan apa dosaku, aku benar-benar memohon keampunan dari-Mu
Dan akan apa yang menyedihkan hatiku
Aku telah memaafkan dan melupakan semuanya
Sebagaimana mahunya diriku agar Allah memaafkan dan menerima taubatku

Akan apa yang telah terjadi
Sememangnya ia benar-benar akan menimpa diri
Kerana itulah benar-benar ketentuan Ilahi
Tidak akan terjadinya sesuatu tanpa keinginan-Nya
Dan tidak akan terjadi sesuatu hanya untuk sia-sia
Dan aku benar-benar merelakan segala
Kerana tiada yang lebih baik dari apa yang dirancang-Nya

Dan apabila semua yang pedih itu berlalu pergi
Tinggallah kerinduan yang indah menghangatkan kedinginan hati

May Allah bless us and give His Barakah to us. Allahumma Ameen.

wallahu'alam :)






Tuesday, November 22, 2011

Di Hujung Jari Tersingkap Segala Di hati

Assalamu'alaikum wbt

Kalau dulu kita sering mendengar ayat 'lidah ibarat pedang', yang boleh mencantas apa sahaja yang terlintas di dalam benak hati dan fikirannya. Memang sebenarnya pokok pangkal sesuatu amal itu bergantung dengan lidah dan hatinya.

Diriwayatkan bahawa Lukman al-Hakim, pernah disuruh majikannya membeli daging yang baik untuk menjamu para tamunya. Lukman membeli hati dan lidah. Majikannya berasa marah dengan tindakan Lukman dan bertanya kepadanya kenapa dia membeli hati dan lidah.

"Tidakkah ini daging yang baik seperti yang tuan pesan. Hati merupakan sumber amal perbuatan yang baik, sedang lidah dapat menjalin persaudaraan. Dari keduanya orang dapat membangun kebaikan," jawab Lukman.

Pada suatu hari majikannya kembali menyuruh Lukman membeli daging yang busuk. Tujuan majikannya ialah untuk mengetahui jenis daging apa yang akan dibeli oleh Lukman. 

Ternyata Lukman sekali lagi membeli hati dan lidah. Tindakan ini mengejutkan majikannya dan bertanya kenapa dia berbuat demikian sedangkan yang disuruh beli ialah daging yang busuk.

"Benar tuan, ini daging terbusuk. Hati adalah daging yang terbaik dan sekaligus juga paling busuk. Ia sumber kedengkian dan rasa bongkak. Lidah merupakan 'alat' untuk melaknat, mencerca dan mencaci orang lain."

Lidah merupakan cermin hati sesorang. Bila hati bersih, lidah nescaya tidak akan berkata kecuali yang baik. Sebaliknya bila hati 'busuk', maka lidah akan mudah mengucapkan kata-kata yang buruk.

Oleh kerana itu dalam rangka memelihara persaudaraan Islam maka kita perlu menjaga lidah supaya tidak mencaci dan memaki sesama umat Islam. Perbezaan apapun yang terjadi, jangan sampai menodai persaudaraan Islam.


Allah menggambarkan orang yang menjaga dalamnya persaudaraan Islam (ukhuwah Islamiah), menggunakan kata ikhwah, yang bererti ''saudara kandung''. Ini berbeza dengan ikhwan, yang ertinya ''berteman'', sebagaimana digunakan Allah dalam surah Ali 'Imran ayat 103 untuk menggambarkan bagaimana suku-suku Arab pada zaman Jahiliyah yang bermusuh-musuhan, kemudian bersatu setelah memeluk Islam.

Jadi, setelah berada dalam satu agama, setiap Muslim adalah teman bagi yang lain dan setelah keislaman meningkat, setiap Muslim diharuskan memandang Muslim yang lain sebagai saudara kandungnya.

Ukhuwah Islamiah yang benar sebagaimana yang digambarkan Rasulullah SAW dalam sabdanya bahawa seorang Muslim harus dapat mencintai Muslim lain sebagaimana ia mencintai diri sendiri; bahawa seorang Muslim harus dapat merasakan kesusahan yang dialami Muslim lain. (HR. Bukhari)

Di dalam Al-Quran, Allah tegas memerintahkan agar seorang Muslim tidak memusuhi, mencaci dan berburuk sangka kepada Muslim lain. Umat Islam harus memegang teguh persaudaraan Islam sebagaimana firman-Nya dalam surah Ali 'Imran ayat 103:

"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai  berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (zaman Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada ditepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk".


Dari ayat ini boleh kita ambil hikmahnya bahawa sikap yang paling bijak ialah berusaha memperbaiki diri, sekaligus menjadi orang yang pemaaf. Sebab itulah yang selalu dilakukan Rasulullah SAW sepanjang hidupnya. Sedangkan hidup nabi adalah contoh bagi setiap mukmin.


Tetapi kini jari ibarat tali gantung. Dengan menggunakan hujung jari, orang boleh menaip, meng'copy', meng'klik' dan meng'paste' apa-apa yang boleh memfitnah sesama persaudaraan seagama Islam. 


Dengan hujung jari yang cuma perlu menekan huruf dan menggerakkan tetikus dan klik kiri atau kanan tetikus, boleh menjerut leher saudara seagama. Boleh menyumbat saudara seagama ke dalam kota berduri.


Namun tidak pernah rasa gentar dalam hati ini akan ugutan dan fitnah yang mula tersebar di alam maya. Apalah yang mampu mereka lakukan jika tidak dengan izin Allah. Jika dengan izin Allah perkara itu berlaku, maka ia pula menjadi ujian untuk menguji keimanan. Masih berimankah jika sedikit ugutan menerpa di dalam jiwa, iman mula goyah dan terbit ketakutan?


Sesungguhnya hidup ini tidak ada surutnya ujian demi memartabatkan iman pada tempat yang selayaknya. Lagipun apa yang ingin dikejar selain ingin menjadi manusia taqwa. Taqwa bukanlah boleh kita dapat melainkan melalui ujian-ujian. 


BUat semua yang sayangkan persaudaraan dan perjuangan Islam, semua mesti kuat, tabah dan sabar menghadapi ujian ini. Walaupun ada orang yang disayang diuji, maka kamu semua juga diuji untuk redha menerima keadaan ini. Pelihara iman, jangan goyah atau hilang pertimbangan. Ingat kita juga akan bertemu dihujung perjalanan ini. Tetapkan iman agar kita bersatu semula nanti.


Maka beruntunglah jika mereka itu sering diuji namun sezarah pun tidak goyah imannya.


Semoga kita diberi kekuatan untuk senantiasa memelihara Ukhuwah Islamiah. Ameen!


wallahu'alam