Showing posts with label mujahadah. Show all posts
Showing posts with label mujahadah. Show all posts

Monday, May 20, 2013

Kaki Wanita : Adakah Aurat?

Assalamu'alaikum wbt.

Allahu,setelah sekian lama blog ini tidak memberi apa-apa perkongsian kepada para sahabat yang lain. Asif jiddan, saya tidak berkesempatan untuk meluangkan masa ber'blogging' sejak awal tahun. Alhamdulillah, saat ini diberi kelapangan waktu untuk meneruskan dakwah pena saya. Moga Allah redha.

Sebelum ini, banyak soalan yang saya terima daripada rakan-rakan tentang aurat wanita,terutamanya bab kaki. Ramai yang bertanya, adakah kaki itu aurat atau tidak. Hasil pembacaan saya dan rujukan daripada golongan yang berilmu,saya akan kongsikan kepada sahabat sekalian tentang aurat kaki wanita. Insya-Allah.

Sebelum itu, ada perbandingan daripada mazhab utama dalam bab aurat kaki ini.

Maliki, Syafi'e dan Hanbali sepakat mengatakan bahawa seluruh bahagian tubuh wanita itu aurat kecuali muka dan telapak tangan.
Hanafi pula mengatakan bahawa seluruh bahagian tubuh wanita itu aurat kecuali muka, telapak tangan dan telapak kaki.

Berdasarkan pendapat mazhab, jumhur ulama' berpendapat kaki wanita itu adalah aurat, tiada lagi keraguan padanya terutamanya dalam solat. Hanya pendapat mazhab Hanafi sahaja berpendapat bahawa kaki bukan aurat.


Allah berfirman yang bermaksud:
"Katakanlah kepada wanita yang beriman: hendaklah mereka menahan pandangannya dan kemaluannya, serta janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak daripadanya." [An-Nur 24:31]

Apakah yang dimaksudkan dengan "yang biasa nampak daripadanya?" Sa'id bin Jubair meriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa maksud ayat tersebut ialah wajah dan kedua-dua tapak tangan. (tafsir Al-Quran al-Azim)

Pendapat yang sama turut dikongsi oleh al-Dahhak dan al-Auza'i, namun ada beberapa sahabat seperti Ibn Mas'ud yang berpendapat ia bermaksud pakaian. Ini disokong oleh sebuah hadis, tatkala Asma' binti Abu Bakar masuk ke tempat Rasulullah SAW berada sedangkan dia memakai pakaian sedikit nipis. Rasulullah SAW lalu berpaling daripada memandangnya sambil bersabda yang bermaksud:
"Wahai Asma', sesungguhnya seseorang wanita itu apabila telah baligh (haid), maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini." Rasulullah SAW sertakan lafaznya "ini dan ini" dengan mengisyaratkan wajah dan kedua-dua tapak tangan. (Riwayat Abu Daud)

Walaupun hadis ini mempunyai beberapa kecacatan yang dipertikaikan oleh ulama', disini jelas juga satu lagi faedah yang boleh digali dari hadis ini, bahawa lelaki dan wanita perlu memainkan peranan yang bersifat "simbiosis", bantu-membantu ke arah kebaikan dan takwa.

Peranan wanita ialah mengetahui secara teori segala permasalahan berkaitan aurat dan seterusnya mengamalkannya secara konsisten. Lelaki pula berperanan memberi nasihat kepada wanita disekitarnya terutamanya peranan mereka mengelakkan ahli keluarga mereka daripada terhumban ke dalam neraka, di samping menundukkan pandangan bagi menjaga mata dan hati.

Namun saya percaya, ada wanita yang mengalami masyaqqah (kesulitan) menutup kaki sama ada dengan berstoking, memakai kasut bertutup atau dengan melabuhkan pakaian mereka sehingga menutup kaki. Wanita harus faham disini, konsep menutup kaki tidak hanya tercapai dengan memakai stoking sahaja. Konsep pakaian labuh seperti abaya yang biasa dipakai oleh wanita Arab mempunyai maqasid menutup kaki apabila mereka memakainya labuh sehingga berjela-jela, namun tidak sampai ke tahap berbangga-bangga dengan pakaian labuh.

Memakai kasut bertutup pada waktu hujan tanpa perlu memakai stoking juga boleh diterima dari segi praktis, asalkan tujuan asal menutup aurat mampu dicapai. Tiada lagi istilah stoking basah berkali-kali sehari.

Jika berada di rumah terutamanya di kampung, kadangkala susah nak menutup kaki dengan kehadiran sepupu, saudara-mara dan sebagainya. Kan? Dalam situasi seperti ini, mujahadahlah sedikit dengan meminimumkan kaki terdedah walaupun diberi beberapa kelonggaran jika berada di dalam rumah. Dalam konteks keluarga besar yang memahami syariat Islam, pengasingan lelaki dan wanita bukan mahram boleh membantu.

FIrman Allah yang bermaksud:
"Hai anak Adam, sesungguhnya kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat." [Al-A'raf 7:26]

Takwalah yang memotivasikan wanita sama ada patuh atau angkuh dengan suruhan Allah SWT ini. Tepuk dada tanya iman. Jika iman masih malap, terangkan hati dengan ilmu dan amal.



Wallahu'alam

SOLUSI

Thursday, April 28, 2011

Masa Depan Kami MilikMU


Di saat aku berlari kini

Kupikul mujahadahku dengan erat

Agar tiada lagi kekhilafan yang kulakar..

Aku begitu menunggu tuk bertemu cinta hakiki

Yang tidak pernah ku gambar betapa indahnya

Yang tidak kunafi, ia selalu kudamba..

Tika yang indah datang menerpaku tiba-tiba

Lantas aku menyerahkan harapanku pada illahi

Agar aku tidak khilaf lagi dalam larian kehidupan

Harapanku itu

Aku ikat kemas di sangkar hati

Kupagar ia dengan besi taqwa

Kusaluti dengan raja’ kepadaNya

Pabila ada yang bertanya

Lantas dengan yakin aku mengukir kata

Allah Yang Maha Mengetahui isi hati ini

Aku sedar

Dengan mencintaiMu Rabbi

Aku tidak perlu resah

Kerna aku tidak perlu bersaing merebutMu

Aku tidak perlu menangis kecewa

Aku tidak perlu merasa sunyi

Kerna Kau selalu ada dekatku

Kerna rahmatMu melebihi marahMu


Thursday, April 14, 2011

Biar Sedikit Tapi Berterusan

Assalamu'alaikum wbt

Memang menjadi rutin mingguan saya untuk membeli tabloid (suratkhabar) yang kecil molek yang padat dengan ilmu pengetahuan untuk makanan rohani saya.Itulah tabloid yang selalu saya beli "ILUVISLAM".Saya sangat-sangat menggalakkan kita semua untuk membeli tabloid ini kerana pelbagai paparan yang dikupas daripada perspektif Islam.Jika dibandingkan dengan majalah hiburan yang lain,tabloid ini jauh lebih murah kerana harganya cuma RM2.Jadi tidak salah kiranya RM2 ini dibelanjakan untuk membeli tabloid yang saya jamin kita tidak akan menyesal apabila membelinya!.


Okeh,itu hanya selingan daripada tajuk yang ingin saya kongsikan bersama para sahabat yang lain.Dalam tabloid iLuvIslam edisi-57,terdapat satu artikel diruangan "I♥SIBER" yang bertajuk 'Biar Sedikit Tapi Berterusan'.Mungkin agak panjang ayat ini tetapi apabila kita tukar ayat ini dari segi bahasa Islam,akan menjadi 'Istiqamah'. Pendek je kan perkataannya? Mungkin ramai diantara kita tahu apa yang dikatakan dengan istiqamah ini. Gembira rasanya jika saya dapat kongsikan apa yang telah saya baca tentang artikel tersebut.

Rasulullah SAW bersabda:"Istiqamahlah kamu semua,dan beruntunglah jika kamu istiqamah."(HR Ibnu Majah). Manakala,firman Allah dalam surah Hud ayat 112 bermaksud," Maka istiqamahlah,sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah taubat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan".


Ramai yang tahu dan mahu melakukan kebaikan. Sayangnya,selalu gagal untuk melaksanakannya. Ramai yang tidak mahu melakukan kejahatan tapi sering terdorong melakukannya. Mengapa?

Kita seolah-olah hilang kuasa untuk mengawal diri kita sendiri. Semacam ada kuasa yang lebih kuat dalam membentuk dan mengendalikan diri kita ini. Ya,kita sebenarnya sentiasa diburu malah dibelenggu oleh dua musuh yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan. Musuh itu ialah syaitan dan hawa nafsu. Bagaimanakah kita hendak mengalahkan dua musuh ini demi mengembalikan pimpinan diri kepada diri sendiri? Samalah dengan berdepan dengan musuh yang zahir,tidak ada jalan lain melainkan 'berperang' dengannya. Cuma berperang dengan musuh batin berbeza dengan musuh zahir. Justeru,musuh zahir dapat dilihat dan tipu dayanya dapat dinilai dengan akal dan mata. Tegasnya, musuh zahir lebih mudah didekati daripada musuh batin.

Perang melawan musuh batin khususnya hawa nafsu dan syaitan ini dinamakan mujahadah. Ia adalah peperangan yang jauh lebih hebat dari peperangan zahir. Mengapa dikatakan demikian? Ini kerana medan peperangan kedua-dua musuh ini berlaku dalam diri kita. Serangan,tikaman dan ledakannya berlaku dalam diri kita. Walaupun tidak kedengaran dentumannya tetapi bisanya lebih berkesan. Justeru,ramai manusia yang mampu mengalahkan musuh zahir tetapi gagal mengalahkan hawa nafsunya sendiri.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya," Mereka yang gagah bukanlah mereka yang dapat mengalahkan musuh zahirnya, tetapi adalah mereka yang dapat mengawal kemarahannya."


Namun bukan mudah mengawal kemarahan justeru kemarahan adalah sifat buruk yang didalangi syaitan. Syaitan adalah makhluk yang paling derhaka dan paling banyak menipu daya manusia. Bahkan sangat sedikit manusia yang berjaya mengatasi tipu dayanya. Dalam Al-Quran, Allah menjamin orang yang tidak dapat ditipu daya oleh syaitan ialah mereka yang ikhlas. Begitu juga dengan hawa nafsu,bukan mudah hendak dilawan kehendak dan hasutannya. Ini kerana nafsu itu adalah sebahagian daripada diri kita sendiri. Bermujahadah melawan nafsu bererti berperang dengan diri kita sendiri. Apa yang disukai oleh hawa nafsu akan disukai oleh diri kita sendiri.

Hanya dengan ilmu yang tepat sahaja kita dapat menilai apakah kehendak itu baik atau jahat. Namun setakat tahu akan buruk baiknya belum cukup untuk kita mampu melaksanakan atau meninggalkannya. Kita perlu bermujahadah dan terus bermujahadah. Ramai manusia yang tahu tapi tidak mahu. Dan ramai juga manusia yang mahu tapi tidak mampu.Oleh kerana kedua-dua musuh itu tidak pernah berehat dari menyerang kita,maka kita sewajarnya tidak berehat untuk mempertahankan diri. Bermujahadah tidak boleh bermusim atau mengikut 'mood'. Ia adalah satu perjuangan yang tidak henti-henti hingga malaikat maut mencabut nyawa kita. Malah,hingga ke saat nyawa kita hendak bercerai dari jasad pun,syaitan terus berusaha menipu daya kita.

Bahkan pada saat itu,tipu dayanya lebih dahsyat kerana itulah peluang terakhir untuk menyesatkan manusia agar mati dalam keadaan tidak beriman. Setiap dosa yang kita buat kerana termakan hasutan syaitan adalah umpama titik hitam pada hati. Makin banyak kita berdosa,makin gelaplah hati. Bayangkan jika kita bermujahadah sekali sekala,ia umpama mencuci pakaian yang sangat kotor sekali sekala. Sudahlah jarang dicuci,kotoran yang terpalit makin banyak hari demi hari. Begitulah hati,jika malas 'dibasuh' dengan mujahadah,maka ia akan bertambah kotor hingga payah hendak dibersihkan lagi.


Oleh itu,satu prinsip asas dalam mujahadah ialah istiqamah. Yakni konsisten,terus menerus dan berkesinambungan dalam 'peperangan' dengan syaitan dan hawa nafsu. Jika kita hanya bermujahadah tapi tidak istiqamah,maka mujahadah itu tidak akan memberi kesan. Istiqamah adalah sifat terpuji sama seperti mujahadah. Malah kedua-duanya merupakan gandingan mantap dalam setiap diri yang ingin menuju Allah.

Istiqamah dari segi bahasa adalah tegak lurus. Yakni berdiri teguh dijalan yang lurus,berpegang pada akidah yang tepat dan melaksanakan syariat dengan tekun serta berakhlak baik secara konsisten. Firman Allah: "oleh yang demikian,maka ajaklah mereka dan berdirilah dengan lurus sebagaimana engkau diperintahkan, dan janganlah engkau turutkan kehendak nafsu mereka." (As-Syura:15)

Untuk beristiqamah dalam mujahadah,kita perlukan keteguhan keyakinan (iman),penjagaan lisan dan kawalan tindakan. Ingatlah,syaitan yang kita hadapi adalah makhluk kreatif yang sangat komited dengan azamnya untuk menyesatkan manusia.


wallahu'alam