Assalamu'alaikum wbt
Ini saya petik daripada khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Bersama kita menghayatinya dengan mata hati.insya Allah.
wallahu'alam
Ini saya petik daripada khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Bersama kita menghayatinya dengan mata hati.insya Allah.
Muslimin sidang jumaat sekalian!
Marilah sama-sama kita mendengar satu hadis yang disabdakan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Dua kaki seorang hamba itu akan tetap (berada di padang masyar) pada hari kiamat sehingga disoal kepadanya empat soalan; Tentang umurnya, di manakah dihabiskan, tentang zaman mudanya, bagaimana digunakan, tentang hartanya, bagaimanakah diperolehi dan bagaimana digunakan dan tentang amalannya, apakah diamalkan dengannya."
Di antara keempat-empat soalan tersebut, ada satu soalan yang Allah SWT akan tujukan kepada setiap manusia semasa berada di padang masyar berkaitan dengan usia muda. Mereka akan disoal bagaimana mereka menghabiskan masa muda mereka, adakah untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT atau disia-siakan zaman muda mereka dengan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT.
Di dalam al-Quranul Karim, Allah SWT mengambarkan kisah satu golongan pemuda yang berani mempertahankan aqidah dan agama mereka walaupun di hadapan raja yang zalim yang memaksa mereka kembali kepada kekafiran.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahkan kepada mereka petunjuk. Dan kami teguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri (di hadapan raja yang zalim) lalu mereka berkata; 'Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi: Kami sesekali tidak akan menyeru Tuhan yang lain daripada-Nya, sesungguhnya kalau kami (mengucapkannya) maka sebenarnya kami telah mengucapkan perkataan yang amat jauh daripada kebenaran."
Di dalam sejarah Islam, menceritakan kepada kita betapa hebatnya peranan pemuda-pemuda Islam berjuang mempertahankan Islam sehingga Islam itu berkembang ke seluruh pelusuk dunia. Oleh itu, menyedari betapa pentingnya golongan pemuda di dalam perjuangan Islam, maka Rasulullah SAW begitu mengambil berat terhadap pendidikan golongan pemuda. Buktinya, mereka yang mula-mula memeluk Islam dan menerima dakwah Rasulullah SAW adalah dari kalangan pemuda-pemuda yang umur mereka lebih muda daripada Rasulullah SAW sendiri seperti Saidina Abu Bakar, Umar, Osman, Ali dan lain-lain lagi.
Sementara mereka yang menyertai golongan penentang dakwah Rasulullah SAW ialah daripada golongan tua yang menganggap diri mereka lebih banyak makan garam daripada orang lain seperti Abu Jahal, dan lain-lain lagi. Muslimin sidang jumaat sekalian! Golongan pemuda Islam pada hari ini pula seolah-olah telah lupa tanggungjawab mereka terhadap Allah SWT. Mereka berpegang dengan slogan zaman muda hanya sekali. Oleh itu mereka bebas untuk melakukan apa saja yang diinginkan oleh hawa nafsu mereka dan mereka menurut sahaja apa yang dibisikkan oleh syaitan dalam hati sanubari mereka.
Sebahagian besar daripada golongan pemuda Islam pada hari ini sudah tidak lagi mengingati Allah SWT seperti meninggalkan sembahyang. Mereka merasakan bahawa ibadat sembahyang lima waktu itu sangat membebankan mereka. Seolah-olah lebih payah daripada mendaki gunung yang tinggi atau berenang di dalam lautan api. Golongan pemuda seperti ini lebih gemar menghabiskan masa mereka dengan bermain dam di atas wakaf bermula dari fajar sehingga larut malam, bertemankan sebatang lilin atau cahaya rembulan. Tempat-tempat umum seperti perhentian bas dan pasar-pasar menjadi tempat longgokan pemuda-pemudi yang tidak ada arah tujuan hidup.
Di sinilah tempat mereka bersuka ria, bergaul bebas di antara lelaki dan perempuan, menghisap rokok dan melakukan perkara-perkara yang sia-sia, tidak ada guna di dunia dan di akhirat. Di sana mereka mengayakan fesyen terbaru yang digayai oleh pemuda-pemudi daripada negara barat, yang ditaja oleh golongan Yahudi dan Nasrani bertujuan menyesatkan dan memesongkan mereka daripada Islam.
Pergaulan bebas yang berlaku dikalangan pemuda-pemudi tanpa ada ikatan perkahwinan yang sah menyebabkan berlaku gejala sosial seperti berzina, rogol dan membuang anak-anak yang lahir daripada perbuatan zina. Jika kaum jahiliyyah sebelum datangnya Islam dihina kerana melakukan pembunuhan kanak-kanak perempuan yang baru lahir secara ditanam hidup-hidup, maka ada pemuda-pemudi Islam hari ini lebih hina kerana membunuh anak yang baru lahir hasil daripada perbuatan zina tidak lagi mengira lelaki atau perempuan, bukan lagi ditanam tetapi dibunuh begitu sahaja di dalam longkang, tong sampah dan di sungai yang kemudiannya menjadi santapan istimewa burung gagak, ular sawa, biawak, buaya dan anjing liar.
Pemuda-pemudi Islam juga menjadi penagih dadah, ganja, pil khayal, ubat batuk dan sebagainya. Mereka ini bukan sahaja menyusah diri sendiri tetapi juga menyusahkan orang lain. Kerana merekalah ibu-bapa menjadi malu, kerana merekalah masyarakat tidak tenteram kerana berlakunya kes-kes kecurian dan rompakan.
Kerana mereka kerajaan terpaksa berbelanja beratus-ratus juta setahun untuk menyara hidup mereka di dalam pusat pemulihan seperti kata pepatah melayu; seperti memikul biawak hidup' atau 'tiada beban batu digalas.
Muslimin sidang jumaat sekalian!
Begitulah sebahagian daripada contoh kerosakan perangai dan akhlak dikalangan muda-mudi hari ini. Siapakah yang bersalah di dalam soal ini? Seseorang itu tidak boleh menuduh orang lain melainkan mereka hendaklah bersama-sama membuat perhitungan sendiri. Kita tidak perlu bergaduh sesama sendiriuntuk menentukan siapakah yang bersalah sehingga kita membetulkan keadaan yang ada. Tidak ada seorangpun yang terkecuali daripada tanggungjawab yang besar ini bermula daripada seorang individu, keluarga, masyarakat dan negara. Marilah sama-sama kita membentuk diri kita menjadi seorang yang patuh kepada Allah SWT.
Kemudia marilah kita sama-sama membentuk sebuah keluarg Islam yang terdiri daripada ibu-bapa dan anak-anak yang beramal dengan ajaran Islam sehingga sebuah rumah tangga itu boleh disifatkan dengan "baiti jannati" rumahku syurgaku.
Hasil daripada setiap keluarga Islam yang beramal dan patuh terhadap ajaran Islam, maka akan lahirlah pula masyarakat Islam dan negara Islam yang diberkati dan diberi rezeki yang melimpah ruah oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan sekiranya penduduk negeri ini beriman dan bertakwa, nescaya Kami akan bukakan kepada mereka pintu-pintu keberkatan daripada langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) lalu kami menghukum mereka kerana apa yang mereka lakukan.
wallahu'alam
No comments:
Post a Comment