Tuesday, November 22, 2011

Di Hujung Jari Tersingkap Segala Di hati

Assalamu'alaikum wbt

Kalau dulu kita sering mendengar ayat 'lidah ibarat pedang', yang boleh mencantas apa sahaja yang terlintas di dalam benak hati dan fikirannya. Memang sebenarnya pokok pangkal sesuatu amal itu bergantung dengan lidah dan hatinya.

Diriwayatkan bahawa Lukman al-Hakim, pernah disuruh majikannya membeli daging yang baik untuk menjamu para tamunya. Lukman membeli hati dan lidah. Majikannya berasa marah dengan tindakan Lukman dan bertanya kepadanya kenapa dia membeli hati dan lidah.

"Tidakkah ini daging yang baik seperti yang tuan pesan. Hati merupakan sumber amal perbuatan yang baik, sedang lidah dapat menjalin persaudaraan. Dari keduanya orang dapat membangun kebaikan," jawab Lukman.

Pada suatu hari majikannya kembali menyuruh Lukman membeli daging yang busuk. Tujuan majikannya ialah untuk mengetahui jenis daging apa yang akan dibeli oleh Lukman. 

Ternyata Lukman sekali lagi membeli hati dan lidah. Tindakan ini mengejutkan majikannya dan bertanya kenapa dia berbuat demikian sedangkan yang disuruh beli ialah daging yang busuk.

"Benar tuan, ini daging terbusuk. Hati adalah daging yang terbaik dan sekaligus juga paling busuk. Ia sumber kedengkian dan rasa bongkak. Lidah merupakan 'alat' untuk melaknat, mencerca dan mencaci orang lain."

Lidah merupakan cermin hati sesorang. Bila hati bersih, lidah nescaya tidak akan berkata kecuali yang baik. Sebaliknya bila hati 'busuk', maka lidah akan mudah mengucapkan kata-kata yang buruk.

Oleh kerana itu dalam rangka memelihara persaudaraan Islam maka kita perlu menjaga lidah supaya tidak mencaci dan memaki sesama umat Islam. Perbezaan apapun yang terjadi, jangan sampai menodai persaudaraan Islam.


Allah menggambarkan orang yang menjaga dalamnya persaudaraan Islam (ukhuwah Islamiah), menggunakan kata ikhwah, yang bererti ''saudara kandung''. Ini berbeza dengan ikhwan, yang ertinya ''berteman'', sebagaimana digunakan Allah dalam surah Ali 'Imran ayat 103 untuk menggambarkan bagaimana suku-suku Arab pada zaman Jahiliyah yang bermusuh-musuhan, kemudian bersatu setelah memeluk Islam.

Jadi, setelah berada dalam satu agama, setiap Muslim adalah teman bagi yang lain dan setelah keislaman meningkat, setiap Muslim diharuskan memandang Muslim yang lain sebagai saudara kandungnya.

Ukhuwah Islamiah yang benar sebagaimana yang digambarkan Rasulullah SAW dalam sabdanya bahawa seorang Muslim harus dapat mencintai Muslim lain sebagaimana ia mencintai diri sendiri; bahawa seorang Muslim harus dapat merasakan kesusahan yang dialami Muslim lain. (HR. Bukhari)

Di dalam Al-Quran, Allah tegas memerintahkan agar seorang Muslim tidak memusuhi, mencaci dan berburuk sangka kepada Muslim lain. Umat Islam harus memegang teguh persaudaraan Islam sebagaimana firman-Nya dalam surah Ali 'Imran ayat 103:

"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai  berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (zaman Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada ditepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk".


Dari ayat ini boleh kita ambil hikmahnya bahawa sikap yang paling bijak ialah berusaha memperbaiki diri, sekaligus menjadi orang yang pemaaf. Sebab itulah yang selalu dilakukan Rasulullah SAW sepanjang hidupnya. Sedangkan hidup nabi adalah contoh bagi setiap mukmin.


Tetapi kini jari ibarat tali gantung. Dengan menggunakan hujung jari, orang boleh menaip, meng'copy', meng'klik' dan meng'paste' apa-apa yang boleh memfitnah sesama persaudaraan seagama Islam. 


Dengan hujung jari yang cuma perlu menekan huruf dan menggerakkan tetikus dan klik kiri atau kanan tetikus, boleh menjerut leher saudara seagama. Boleh menyumbat saudara seagama ke dalam kota berduri.


Namun tidak pernah rasa gentar dalam hati ini akan ugutan dan fitnah yang mula tersebar di alam maya. Apalah yang mampu mereka lakukan jika tidak dengan izin Allah. Jika dengan izin Allah perkara itu berlaku, maka ia pula menjadi ujian untuk menguji keimanan. Masih berimankah jika sedikit ugutan menerpa di dalam jiwa, iman mula goyah dan terbit ketakutan?


Sesungguhnya hidup ini tidak ada surutnya ujian demi memartabatkan iman pada tempat yang selayaknya. Lagipun apa yang ingin dikejar selain ingin menjadi manusia taqwa. Taqwa bukanlah boleh kita dapat melainkan melalui ujian-ujian. 


BUat semua yang sayangkan persaudaraan dan perjuangan Islam, semua mesti kuat, tabah dan sabar menghadapi ujian ini. Walaupun ada orang yang disayang diuji, maka kamu semua juga diuji untuk redha menerima keadaan ini. Pelihara iman, jangan goyah atau hilang pertimbangan. Ingat kita juga akan bertemu dihujung perjalanan ini. Tetapkan iman agar kita bersatu semula nanti.


Maka beruntunglah jika mereka itu sering diuji namun sezarah pun tidak goyah imannya.


Semoga kita diberi kekuatan untuk senantiasa memelihara Ukhuwah Islamiah. Ameen!


wallahu'alam

2 comments: